بسم الله الرحمن الر حيم
إن
الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات
أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا
الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران
– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
WAJIB
MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu
kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak
mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
Hadis Kedua Puluh
20-
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas
tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu
Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh
ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan -
mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa
Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan
Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan;
Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan
sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum
Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak
berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang
hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib
mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang
wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala
perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan.
Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang
diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua
taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu
ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang
mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah
mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu
kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara
yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang
Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan
adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam
hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang
sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari
dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang
dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan
madu bercampur racun.
Hadis Kedua Puluh Satu
21-
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ
فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ.
(أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w.,
sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki
oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih; -
ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan
tidak dimansukhkan hukumnya; atau "Sunnah" (hadis) yang
sah datangnya dari Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau
ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang (dengan
kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu
Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1) Ilmu-ilmu
agama itu terbahagi dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi
Asas.
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu
ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak
dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat
Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu
ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih
(yang tidak dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama) itu
ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu
dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi
yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang
difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak dapat
memberi pertolongan untuk memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan sahaja tidak perlu dipelajari,
bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak memberi manfaat yang
disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon dilindungi dan dijauhi
oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang membahayakan diri
sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir, ilmu nujum (Astrologi) dan
sebagainya.
Hadis Kedua Puluh Dua
22-
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ
وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي
امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ
اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي
والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada
orang ramai; - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam
Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah Al-Qur'an
dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan
mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil
(kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah
berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam
satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh
menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi
dan Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini mengandungi:
(1) Perintah belajar dan mengajar.
(2) Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
(1) Perintah belajar dan mengajar.
(2) Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1) Perintah
belajar dan mengajar:
Ilmu yang diperintahkan belajar dan mengajarnya, sebagaimana
yang diterangkan dalam hadis ini ialah:
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab suci, kalam Allah yang
wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan dan pengubahan,
baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya, maka
Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya belajar
dan mengajar ilmu yang tersebut untuk mengesahkan benarnya apa yang
dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr, yang
bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan Kamilah
yang memeliharanya."
(2) Amaran tentang
kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w. ialah yang
menyampaikan ilmu-ilmu agama dan Baginda juga seorang manusia yang
akan mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan mengajar segala jenis
ilmu pengetahuan yang disampaikannya, kerana dengan
kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang,
sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti mengerjakannya pun
akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak didapati orang yang boleh
menyelesaikannya.
Hadis Kedua Puluh Tiga
23-
عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ
وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu
atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang
mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi
(dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan
binasa."
(Al-Bazzar)
Hadis yang kedua puluh
tiga ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap
ilmu agama.
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk
mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara
jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan
ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan
memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari yang buruk dan yang
hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam
salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang
binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat
membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu
syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik
sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam
kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk
dalam golongan yang kelima yang binasa.
Hadis Kedua Puluh Empat
24-
عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ
قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ
أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya
dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama
dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala
jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus
menjalankan agama Allah, tidak ada sesiapa pun dari kalangan
orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah
datang perintah Allah."
(Bukhari
dan Muslim)
Hadis yang kedua puluh empat ini menerangkan:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang
teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w.
tetap terus menjalankan kebenaran.
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang
dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama:
Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian Allah
Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya
kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan:
Pertama: - kerana mengaturkan hubungan manusia sesama
manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan
ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika
diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia
yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari
perasaan hasad dengki.
Kedua - dengan ilmu agama ini juga Allah Taala mengajar mereka
adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan
Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan
menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan
mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama, maka sudah
tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari
balasan.
Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang
sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk
mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan
kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki beroleh kebaikan,
disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah
jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara
mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk
kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan
rohaninya.
(2) Allah jua yang
mengurniakan ilmu pengetahuan:
Sebagaimana yang sedia maklum, bahawa sesuatu perkara yang
dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan menjalankan usaha yang
bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu, lebih-lebih lagi ilmu
pengetahuan agama, itupun tidak cukup melainkan dengan adanya
pertolongan dan limpah kurnia Allah memberikan orang itu persediaan
untuk memahami makna dan maksud sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar
kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun menyampai dan membahagikan segala apa
yang diperintahkan dengan sehabis-habis daya usahanya dengan tidak mengutamakan
seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian
sepatutnya orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham dan
pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi
apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya alim ulama
yang menjadi waris Baginda untuk
menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya
menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka
untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya,
luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang menerima
penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum syarak maka yang
demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan fahaman
yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang
diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.
(3) Sebahagian dari umat
Muhammad S.A.W. tetap terus menjalankan kebenaran.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita
gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan
oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan
akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh
golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata
sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.
Agama Islam yang demikian keadaannya tetap dijalankan oleh
sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat bawaan mereka oleh sebarang
angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga datang perintah Allah
`Azza wa Jalla mematikan sekalian orang yang beriman dan
tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah"
pun, maka pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari qiamat.
Hadis ini juga memberi semangat dan
menjamin keselamatan orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan
Rasul-Nya dengan sempurna.
Hadis Kedua Puluh Lima
25-
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ
كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ
قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ
مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ
فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا
هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ
فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ
وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى
اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)
25 -
Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat
petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat
yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang
subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan
tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya
tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia
bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan
memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan
terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya
hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun),
dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman
yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang)
yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia
mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga
bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu
dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan
membawanya."
(Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan:
Kelebihan orang yang
mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan orang yang
sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi
dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia
menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang
hidup. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima
ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang
menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang
berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan
ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan
itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu
sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman;
ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang
memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang
menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula
mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah
beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah
berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang
lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk, kerana ia tidak
beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal
menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh
faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan
sebarang tanaman. Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang
tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal
dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan
seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam
kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan,
bahkan ia seperti haiwan, bahkan haiwan pun lebih baik lagi,
kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati
oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya
senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi
untuk mencapai kebahagiaan.
Hadis Kedua Puluh Enam
26-
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ
اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى
مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ
مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ
الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا
يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ
اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ
الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود
والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin
yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan
dunia, nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang
menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong
memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan
susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang
menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di
dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan
oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya
dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya
mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan memberi kemudahan kepadanya
dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke
Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan
tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan
keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama
sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula
diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka
dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya
dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak
akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".
(Muslim,
Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh
orang-orang yang berhimpun membaca dan mengulangkaji kitab Allah.
(4) Amalan seseorang sahajalah yang menentukan maju
mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi
pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini
sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk
mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan
kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan
jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan
yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang
pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang
mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu
tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa:
Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada
pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana
ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah
Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya
yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka
alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada
hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi
nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu
kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam
alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada
orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang
manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap
haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh
agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang
mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak
dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian
keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau
dari sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang
lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam
sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan
satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun
fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis, bahawa sesiapa yang
mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan
mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat,
maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara
yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan
menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak
harus didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian
adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu
melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan
tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang
yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia
menerima hukuman.
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu
adalah dengan beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan
hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal
berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis atau
pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya
bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut,
tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang
sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha
menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu
banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan
bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya, menghafaznya dan
mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka
Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha
itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang
menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun
membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal
ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun
membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w.
menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka
diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan,
dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala
dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin
seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana
sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari
dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak
dicucuri oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan
baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang
bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza
wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang
berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada
orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah),
sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh
"Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang
kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca
Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu
agama.
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan
pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti
berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di
merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir,
bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan
ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni
kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke
langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan
menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan
firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan
dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu
di antara Malaikat yang tersebut berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam
kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana
satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala
menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang
sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang
yang duduk bersama-sama mereka".
(4) Amalan seseorang
jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang
yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta
beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya,
kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang,
beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah
kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan
kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah,
r.a., supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal
taat yang sempurna, kerana Baginda tidak berkuasa
menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah
s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari
anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada
hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah
anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan
perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya
atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup
memberi pertolongan, pada "hari seseorang tidak dapat memberikan
pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu
tertentu bagi Allah! "