|
|
Walaupun pada zahirnya mereka merupakan sebuah aliran yang ‘hanya mempertikaikan kedudukan hadis sebagai sumber hukum’, mereka sebenarnya membawa satu cara pemahaman dan penafsiran baru terhadap sejarah awal umat Islam dan sumber perundangan yang harus menjadi rujukan. Lantas pentafsiran dan pemahaman baru ini menimbulkan satu kerangka konsep, ideologi dan cara-hidup dan berlainan dari apa yang dipegang oleh umat Islam selama ini. Pada zahirnya mereka menggunakan prinsip bahawa Islam memberi kebebasan kepada mereka membuat tafsiran dan berpegang kepada tafsiran yang mereka yakini, di atas prinsip Islam membenarkan perbezaan pendapat. Namun, perlu diingat, perbezaan pendapat antara kita harus diasaskan kepada satu titik tolak yang dipersetujui bersama, yakni kita berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber pegangan yang primer dan kaedah perolehan hukum yang jelas dan sistematik. Semua perselisihan dan perbezaan pendapat hanya boleh dimaafkan (dan sewajarnya dimaafkan) selagi pendapat yang bertentangan tersebut mempunyai asas di dalam kedua-dua sumber primer tadi. Ini yang diyakini oleh umat Islam keseluruhannya masa kini dan pada hemat saya inilah juga cara yang dibawa oleh generasi Islam yang terdahulu. Sekiranya ada orang lain yang ingin membawa cara pentafsiran yang jauh menyimpang dan berlainan daripada asas ini, maka terkeluarlah mereka daripada definisi atau takrifan umat Islam sepanjang zaman; sebagaimana terkeluarnya Syiah dan Qadiyani/Ahmadi walaupun mereka tetap bertegas bahawa pentafsiran mereka lebih betul daripada pentafsiran kita selama ini. Di antara penyelewengan ketara kumpulan anti-hadis ialah mereka telah memperkecilkan dan meremehkan tugas Rasullullah dan para anbiya' seluruhnya. Bagi mereka tugas Rasul tidak lain hanya sekadar alat menyampaikan al-Qur'an. Oleh kerana menurut pemahaman mereka peribadi, kata-kata, perbuatan dan sejarah hidup Rasulullah tidak mempunyai sebarang kaitan atau makna kepada hukum dan perundangan Islam pada masa dulu dan pada masa ini, maka tugas dan peranan Rasul tidak bermakna selain menjadi seolah-olah robot atau radio yang membacakan ayat-ayat al-Qur'an kepada umat. Anehnya, gambaran manusia sebagai robot sedemikian tidak juga diperolehi daripada al-Quran. Golongan ini yang kononnya mahir tentang al-Quran seolah-olah buta terhadap kisah-kisah Nabi di dalam al-Quran. Kisah Nabi-nabi Ibrahim, Musa, Isa, Nuh dan seumpamanya jelas membayangkan bahawa manusia-manusia ini bukan berfungsi hanya sebagai robot atau radio yang membacakan ayat-ayat Allah. Mereka adalah pemimpin, pendakwah, pemberi hukum dan pemberi contoh. Kenapa perlu diutus Rasul? Di dalam Surah al-Mumtahanah Allah memberikan penyataan yang jelas bahawa Nabi Ibrahim ialah sebaik-baik ikutan bagi kita (umat Islam), dalam nada yang sama seperti di dalam Surah al-Ahzab Allah menyebut bahwa Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik ikutan. Adakah boleh mereka dijadikan ikutan sekiranya fungsi mereka hanya sebagai robot penyampai wahyu sedangkan diri, akhlak dan perbuatan mereka tidak menjadi sumber akhlak dan amalan kita? Jelas kepada kita bahawa gambaran Rasul sebagai robot penyampai wahyu bukan datangnya dari pemahaman keseluruhan ayat-ayat al-Quran tetapi sebaliknya andaian-andaian dan mainan hawa nafsu golongan anti-hadis sendiri. Sungguh menakjubkan! Jika hanya itu tugasnya, kenapa perlu Allah membangkitkan Rasul dari kalangan manusia sedangkan Allah yang Maha Berkuasa boleh, sekiranya menghendaki, menurunkan kitab tanpa perantaraan Rasul dari kalangan manusia? Jika hanya itu tugas Rasul, kenapa perlu diutus seorang Rasul yang terbukti berakhlak mulia sejak sebelum kenabian baginda? Kenapa perlu seorang Rasul yang perlu bertungkus-lumus, berlumuran darah dan bermandi keringat selama dua puluh tiga tahun? Kenapa perlu seorang manusia yang disokong oleh kumpulan sahabat berjiwa kental, yang berkorban jiwa raga untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan risalah yang dibawanya? Kenapa perlu seorang Rasul yang menunjukkan secara praktik cara pelaksanaan hukum-hakam yang termaktub di dalam al-Quran? Golongan anti-hadis melihat Rasululullah hanya sebagai seorang tokoh sejarah, sama seperti mereka melihat Napoleon atau Julius Caesar; hanya sebagai tokoh yang telah mencipta sejarah, tidak lebih dari itu. Oleh itu mereka tidak menganggap kata-katanya maupun perbuatannya sebagai penting. Bagi mereka kononnya yang penting ialah, Rasulullah SAW telah berjaya melaksanakan tugasnya menyampaikan al-Quran kepada umat manusia. Kemudian, pandai-pandailah manusia memanfaatkan al-Quran tersebut mengikut cara mereka masing-masing! Apa yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW semasa hidup baginda tidak penting atau membawa apa-apa makna kepada kehidupan kita kini! Kita sungguh sangsi dengan tanggapan golongan anti-hadis tentang kehidupan harian Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Bagi mereka seolah-olah dalam sepanjang 23 tahun kenabian baginda, baginda membisu seribu bahasa, tidak menjawab segala persoalan yang pasti banyak sekali ditimbulkan oleh para sahabat baginda yang mahu melaksanakan tuntutan ibadat kepada Allah. Mengikut tafsiran golongan ini juga, semua perbuatan dan tingkah-laku baginda dan para sahabat hanyalah sekadar menurut 'adat dan kebiasaan orang Arab ketika itu' sahaja; lantas tidak memberi erti kepada peraturan, hukum dan perundangan kita masa kini, kecuali hanya apa yang tertera di dalam al-Quran. Lagi sekali kehidupan Rasulullah SAW diremehkan kepada seorang manusia `robot'. Menangani Penyewelengan Kumpulan Anti-Hadis Golongan anti-hadis yang wujud di Malaysia dan peringkat antarabangsa sering menggunakan nama yang pelbagai bagi diri mereka sendiri. Di Malaysia, mereka kadang-kadang menggunakan nama kumpulan ‘pro-al-Quran’ untuk menampakkan seolah-olah kononnya orang lain ‘anti-al-Quran’. Di dalam Internet, mereka mempamerkan diri mereka sebagai kumpulan ‘Muslim sebenar’ atau kumpulan ‘Submitters (yang tunduk)’. Walau apa pun nama atau label yang digunakan, mereka tidak lari daripada ciri mereka yang paling penting yakni mempertikaikan kedudukan hadis sebagai salah satu sumber primer dalam perundangan Islam. Bagi mereka, hadis hanyalah ciptaan ulama' yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam sebenar. Pelbagai usaha telah dibuat untuk membawa kumpulan ini ke pangkal jalan. Ada yang secara keras serta perbahasan, ada yang secara diplomasi dan perbincangan. Namun, semuanya tidak berjaya kerana masing-masing bertitik-tolak dari prinsip asas yang berbeza . Saya dapati perbahasan yang sering diutarakan selama ini bagi menentang aliran anti-hadis mempunyai dua kelemahan. Pertama, ramai pembela hadis terjerat di dalam perangkap yang dipasang oleh golongan anti-hadis dengan mengutarakan hadis-hadis yang menyebutkan perlunya kita berpegang kepada hadis. Oleh kerana mereka telah menolak hadis, maka meletakkan hadis sebagai hujjah tidak wajar. Kedua, ayat-ayat al-Quran yang diutarakan oleh sebahagian pembela hadis bagi menjelaskan kesesatan golongan anti-hadis walaupun qat’i thubutnya [1] tetapi dzanni dari sudut dilalahnya [2]. Ini tidak mungkin berkesan terutama dalam menghadapi golongan yang menganggap mereka berhak membuat tafsiran al-Quran sendiri mengikut hawa nafsu mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan tafsiran yang kita buat, sama seperti tidak bersetujunya kita dengan tafsiran yang mereka buat. Oleh itu di sini, saya mengambil pendekatan yang rasional yang saya yakin boleh menggugat akar-umbi golongan ini. Pandangan (atau tesis) anti-hadis boleh disimpulkan secara mudah seperti berikut: “Apa yang ada dalam kitab hadis bukan berasal dari Rasulullah; seandainya ia betul berasal dari Rasulullah pun, ia tidak mempunyai apa-apa erti bagi agama Islam”. Oleh itu, dalam kita menilai atau mempertikaikan kebenaran pandangan mereka ini, kita perlu menimbang secara rasional dua persoalan asas berikut: Adakah benar Rasulullah SAW mengucapkan perkataan atau melakukan sesuatu seperti yang dilaporkan di dalam kitab-kitab hadis? Yakni adakah yang diriwayatkan oleh perawi-perawi hadis itu fakta sejarah atau hanya sesuatu yang diada-adakan.
Jika
benar kata-kata tersebut diucapkan dan perbuatan tersebut dilakukan
oleh baginda, apakah ia harus kita anggap sebagai hanya fakta sejarah
atau ianya mempunyai kedudukan yang lebih penting daripada itu. Adakah
kata-kata tersebut mempunyai legal-standing?
Kedua-dua persoalan ini penting dipertimbangkan bagi menjawab isu asas yang sering dibangkitkan oleh golongan anti-hadis. Walaupun kedua-dua persoalan itu kait-mengait, soalan-soalan tersebut harus juga dalam masa yang sama dipertimbangkan secara berasingan kerana soalan yang pertama menyangkut masalah kesahihan fakta sejarah manakala soalan kedua berkaitan dengan persoalan asas perundangan. Tanggungjawab membuktikan terletak pada anti-hadis Untuk menjawab soalan yang pertama, kita perlu menilai kaedah yang digunakan untuk mempersoalkan kebenaran hadis sebagai satu fakta sejarah yang sahih. Soalan ini amat penting dijawab kerana hanya jika kita bersetuju bahawa apa yang dilaporkan sebagai ‘hadis’ di dalam kitab-kitab hadis adalah sebenarnya fakta sejarah baharulah kita boleh mempertimbangkan soalan kedua. Menurut golongan anti-hadis, "...Rasulullah tidak mengucapkan atau melakukan seperti mana yang dilaporkan di dalam kitab-kitab hadis. Rasulullah menjalani kehidupan, yang berbeza daripada laporan dalam hadis. Hadis yang ada bukan fakta sejarah; malah ianya hanya rekaan para ulamak yang datang sesudah baginda wafat.” Kaedah yang sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak yang ingin mengkritik, mencabar atau mempertikaikan 'well-documented and accepted fact' adalah pihak tersebut patut mendatangkan bukti yang boleh meyakinkan bahwa fakta tersebut tidak benar. Seorang yang ingin mempertikaikan atau mencabar kenyataan “merokok membahayakan kesihatan” misalnya sepatutnya mendatangkan bukti dan alasan yang nyata dan objektif bagi menyokong bantahan beliau tersebut. Bagi fakta historis juga, si pembawa pandangan yang berbeza dari kefahaman dan pegangan umum harus mendatangkan bukti. Misalnya jika seseorang ingin mengatakan bahawa “orang-orang Portugis tidak pernah menakluk Melaka” atau 'peperangan tidak pernah pernah terjadi di antara tentera Saidina Ali dan Saidina Muawwiyah' contohnya, maka beliau mesti membawa bukti yang dapat menegakkan pandangannya yang bercanggah dengan 'well-documented and accepted historical fact' tersebut. Oleh itu, tanggung-jawab membuktikan (the burden of proof) bahawa hadis tersebut ialah bukan catatan sejarah sebenarnya tertanggung pada golongan anti-hadis. Sehingga kini, golongan anti-hadis masih tidak dapat membawa bukti secara objektif dan saintifik yang meyakinkan bahawa: Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menjalani kehidupan yang berlainan daripada yang digambarkan oleh koleksi hadis dan kitab-kitab klasik yang lain (seerah, tafsir dan seumpamanya). Tidak ada dokumen yang boleh dibawa ke hadapan untuk memberi gambaran alternatif mengenai ucapan, perbuatan dan jalan kehidupan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Terdapat kecacatan menyeluruh di dalam sistem yang digunakan oleh
ulama' hadis dalam mengutip, mengesahkan dan mengklasifikasikan
laporan-laporan tersebut.
Himpunan hadis yang ada kini hanyalah rekaan semata-mata. Pendek kata, apa yang diutarakan oleh golongan ini selama ini hanyalah andai-andaian yang tidak saintifik dan tidak berpijak di bumi nyata. Kemungkinan perawi merekacipta hadis amat minimum dan tiada kepentingan bagi mereka berbuat demikian Sekiranya di teliti, sebenarnya semua riwayat-riwayat hadis sahih telah melalui satu kaedah penapisan yang saintifik dan ketat oleh ulama' hadis. Melalui kaedah ini, ulama hadis berusaha keras memastikan kebarangkalian 'fabrikasi' dapat diminimumkan. Misalnya mereka memastikan semua 'sanad' (chain of narration) riwayat tersebut bersambungan tanpa putus sehingga kepada Rasulullah SAW. Juga dipastikan perawinya adalah orang yang boleh dipercayai. Berbanding dengan orang yang meriwayatkan sejarah seorang tokoh biasa, perawi diperiksa untuk memastikan beliau ialah orang yang mempunyai pegangan agama yang kukuh, yang yakin tentang dosa-pahala, sedar tentang besarnya dosa berdusta atas nama Rasul SAW. Begitu juga mereka telah menyiasat untuk memastikan bahawa seseorang perawi pernah bertemu dengan perawi yang sebelumnya dan seterusnya. Salah satu alasan yang mungkin boleh digunakan oleh orang yang mempertikaikan kesahihan hadis ialah 'pendustaan' oleh sumber pertama yakni para sahabah (na'uzubillah) dan perawi seterusnya. Tetapi cuba pertimbangkan bahawa daripada ‘well-documented fact’ bagi para sahabat, perkara 'berbohong di atas nama Nabi SAW, ini adalah sesuatu yang hampir mustahil. Bagaimana mungkin satu generasi yang bermandi darah dan keringat bersama Nabi SAW untuk menegakkan tamaddun manusia bermoral boleh meruntuhkan tamaddun tersebut dengan cara tidak bermoral contohnya berdusta atas nama Nabi SAW? Satu persoalan yang lagi yang patut ditimbulkan: Untuk apa perlu perawi berdusta atas nama Nabi SAW? Apakah kepentingan (interest) peribadi atau kumpulan yang didapati untuk mereka berbuat demikian sedangkan hampir kesemua daripada hadis-hadis sahih tidak langsung memberi malah menjanjikan apa-apa keistimewaan atau kepentingan kepada golongan atau individu tertentu; baik si perawi, maupun orang lain. Kebanyakannya daripada hadis merupakan hanya laporan yang 'straightforward' tentang peribadi, ucapan dan perbuatan Rasululullah SAW mengenai prinsip-prinsip asas Islam dan cara melaksanakannya secara praktik. Untuk apa seorang yang telah bergadai nyawa dengan Nabi SAW menggadaikan maruahnya dengan menyatakan sesuatu yang kononnya “tak pernah dibuat atau diucapkan oleh Nabi”? Apa pula untungnya seorang perawi di generasi lainnya kononnya mahu “berdusta” dengan meriwayatkan misalnya bahawa Nabi menyuruh kita “makan dengan tangan kanan” atau “memulakan sesuatu pekerjaan dengan Bismillah”? Jelas di sini bahawa periwayat hadis tidak mempunyai kepentingan yang hendak dijaga atau diperolehi ketika mereka meriwayatkan hadis-hadis tersebut. Selain daripada itu, harus diingat bahawa kebanyakan hadis diriwayatkan oleh lebih dari satu sanad. Ini bermakna, ramai sahabat yang meriwayatkan perbuatan atau perkataan Nabi SAW secara berasingan kepada generasi seterusnya yang berasingan sehingga melahirkan 'chain-of-narration' yang berbeza tetapi meriwayatkan sesuatu laporan yang sama atau hampir sama. Sesungguhnya, tidak ada tokoh lain di dunia ini yang setiap laporan mengenai perkataan dan perbuatannya diberikan tapisan yang begitu teliti dan rapi. Ini tidak syak lagi menjadikan laporan dan riwayat yang dilaporkan oleh kitab-kitab hadis sahih sebagai fakta sejarah yang tidak dapat ditolak. Rasululah SAW telah benar-benar memperkatakan apa yang diriwayatkan, membuat seperti apa yang telah diriwayatkan dan mengakui sebagaimana yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis sahih. Fakta sejarah yang mempunyai legal-standing Daripada perbincangan sebelum ini, telah jelas bagi kita bahawa rekod laporan (riwayat) yang termaktub di dalam kitab-kitab hadis sahih telah melepasi penelitian dan penapisan yang rapi bagi menjamin kesahihannya. Ini bermakna, apa yang ternyata itu benar-benar mencerminkan kehidupan Rasululah SAW, perbuatan dan tutur katanya. Setakat ini kita belum melihat gambaran alternatif kehidupan baginda selain daripada yang diutarakan di dalam koleksi hadis sahih. Bertolak daripada noktah ini, mari kita lihat persoalan yang kedua; adakah perbuatan dan perkataan Rasulullah mempunyai legal standing sebagai sumber primer dalam Islam. Menurut dakwaan golongan anti-hadis, bagaimana sahih sekalipun riwayat dari Nabi, ianya hanyalah merupakan catatan sejarah yang tidak bermakna; tidak memberi erti kepada agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Menurut mereka, apa yang ada dalam al-Quran itulah yang kita diwajibkan mengikutinya, yang lain daripada itu semuanya tidak boleh diambil kira dalam menetapkan prinsip-prinsip asas Islam serta hukum hakamnya. Apa motif Rasulullah SAW? Satu persoalan yang harus dijawab ialah, sekiranya benar Rasulullah berkata atau berbuat seperti yang diriwayatkan, maka kenapakah baginda bertindak demikian? Adakah hanya kerana baginda menurut adat resam orang Arab di sekitar baginda semata-mata? Atau baginda bertindak secara tabi'i (natural) sepertimana orang lain juga bertindak dalam keadaan yang baginda hadapi? Atau baginda sengaja mengada-ngadakan cara dan perbuatan yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam yang Allah turunkan melalui al-Quran? Sekiranya kita meneliti sejarah hidup baginda, meneliti tiap-tiap tutur-kata dan perbuatan baginda, jelas jawapan bagi persoalan-persoalan di atas adalah negatif. Jelas kepada kita bahawa baginda tidak hanya mengikut cara yang dilakukan oleh nenek-moyang baginda. Juga, walaupun terdapat perkara yang dilakukan oleh baginda yang merupakan perkara yang tabi'i sebagai seorang manusia dan seorang Arab, tetapi dalam banyak hal yang lain jelas baginda tidak semata-mata melakukan perkara yang tabi'i yang dilakukan oleh orang lain di dalam kedudukan beliau. Menuduh baginda mengada-adakan sesuatu yang tidak diperintah oleh Allah adalah satu pendustaan yang membawa kepada kekafiran... Astaghfirullaah. Kita ambil satu contoh satu perbuatan dan perkataan yang masyhur 'widely reported' berkenaan baginda yakni mengenai solat. Menurut golongan anti-hadis, al-Quran kononnya menyuruh kita solat tiga kali sehari; pagi, petang dan malam. Tetapi terdapat banyak hadis yang menegaskan bahawa Rasulullah SAW melalui perkataan dan perbuatannya menunjukkan bahawa solat fardhu lima kali sehari. Riwayat-riwayat mengenai ini sahih belaka. Bahkan kita yakin bahawa tidak ada kepentingan peribadi bagi seseorang hendak meriwayatkan hadis seperti itu secara palsu. Sesudah kita yakin bahawa semua yang diriwayatkan mengenai solat lima waktu itu adalah sahih dan fakta sejarah, cuba kita pertimbangkan sebab Rasulullah SAW melakukan atau mengatakan sedemikian?
Sekiranya
diteliti, baginda bukan sekadar mengikuti tradisi Arab, bukan juga
kerana beliau memandai-mandai. Maka kita tidak boleh membuat
kesimpulan lain selain daripada bahawa Rasulullah SAW melakukan dan
menyebutkan yang demikian sebagai penjelas kepada ayat yang menyebutkan
solat dilakukan pada waktu pagi, petang dan malam.
Begitu juga mengenai tatacara solat. Menurut golongan anti-hadis, al-Quran tidak menjelaskan tata-cara solat dan oleh kerana Rasulullah SAW cuma solat seperti yang dikerjakan oleh orang-orang Arab ketika itu, maka mereka boleh solat mengikut apa cara yang mereka suka! Ini jelas bertentangan dengan sejarah kerana sejarah menerangkan bahawa cara solat Nabi SAW seperti yang diterangkan di dalam hadis-hadis sahih tidak pernah dibuat oleh orang Arab sebelum baginda. Apa motif sebenar anti-hadis? Saya tidak berhajat hendak memperincikan segenap segi penyelewengan golongan anti-hadis. Pokoknya, kita berhadapan dengan satu golongan yang menggunakan semata-mata akal masing-masing untuk mentafsirkan apa yang mereka faham dari al-Quran. Maka tidak hairanlah, apa yang akan lahir bukan lagi Islam tetapi satu bentuk ajaran yang tidak ada kena mengena dengan Islam yang kita kenal. Oleh itu, timbullah suasana ajaran baru seperti juga Qadiani dan Syiah. Motif sebenar golongan anti-hadis telah didedahkan oleh Muhammad Asad menulis di dalam bukunya "Islam at the Cross Roads": "...The rejection of authentic Traditions, either as a whole or in part, is a purely emotional matter, and has failed to establish itself as the result of unprejudiced, scientific investigation. But the motive behind such an oppositional attitude among many Muslims of our time can easily be traced. This motive lies in the impossibility of bringing our present, degenerate ways of living and thinking into line with the true spirit of Islam as reflected in the Sunnah of our Prophet. In order to justify their own shortcomings and the shortcomings of their environment, these pseudo-critics of hadith try to obviate the necessity of following the Sunnah: because, it this were done, they would be able to interpret all Qur'anic teachings just as they please - that is, everyone according to his own inclinations and turn of mind. And in this way the exceptional position of Islam as a moral and practical, individual and social code would be utterly destroyed...." Anti-Hadis adalah sebahagian gerakan modenis Almarhum Muhammad Asad telah mendedahkan motif sebenar kumpulan anti-hadis. Di sebalik seruan kumpulan ini menolak hadis sebagai sumber hukum, terselit hasrat untuk mengambil dari ajaran Islam apa yang berkenan dengan hati dan sesuai dengan pemikiran masing-masing... "...pseudocritics of hadith try to obviate the necessity of following the Sunnah: because, it this were done, they would be able to interpret all Qur'anic teachings just as they please - that is, everyone according to his own inclinations and turn of mind..." . Masing-masing akan mempunyai cara pemahaman yang tersendiri, agamanya yang tersendiri... tepuk dada tanya selera! Sebenarnya apa yang diutarakan oleh golongan anti hadis masa kini bukanlah satu perkara yang baharu. Misalnya, keinginan berpegang kepada Islam mengikut selera masing-masing ini telah diakui oleh Prof. Asaf Fyzee (The Modern Approach to Islam (1963)), ".. kepercayaan saya adalah kepunyaan saya, difesyenkan mengikut hidup saya, berdasarkan falsafah saya, pengalaman saya.. saya juga memberikan setiap Muslim hak memfesyenkan kepercayaannya sendiri.." Sementara itu, Dr. Fazlur Rahman dalam bukunya Islam (1966) telah menyebutkan "Sembahyang lima waktu tidak disebut di dalam al-Quran.... hakikat sembahyang tiga waktu yang asal ditenggelami oleh hadis yang direka bagi menyokong idea tersebut". Orientalis berkulit coklat seperti mereka inilah yang mencanangkan idea Joseph Schact (Origin of Mohamedan Jurisprudence (1955)) bahawa hadis adalah rekaan ulama' Damsyik. Idea songsang yang dibawa oleh orientalis berkulit putih sukar diterima oleh umat Islam tetapi racun bersalut gula yang kini disebarkan pula oleh murid-murid mereka yang berkulit coklat dan sawo-matang mungkin lebih mudah disambut oleh sebahagian umat yang kurang berhati-hati. Orang-orang seperti ini jugalah yang mempelopori idea "..untuk kemajuan umat Islam (kononnya) al-Quran mesti ditafsir untuk menyesuaikannya dengan kehendak dan citarasa manusia masa kini dengan menurut aliran falsafah tamadun moden". Oleh itu Asaf Fyzee juga menyatakan "...Kita tidak perlu kembali kepada al-Quran. Kita mesti membawanya ke hadapan, memahaminya dan mengaplikasikannya kepada keadaan sekarang dan mempercayainya selagi ianya sesuai dengan abad kedua puluh". Penulisan orang-orang seperti Syed Amer Ali (Spirit of Islam (1922)) yang antara lain menyarankan supaya poligami dihapuskan, Dr Taha Hussein (On PreIslamic Poetry (1926)) yang memperkecilkan kewibawaan dan keilmuan Imam-Imam hadis memainkan rentak yang sama. Apabila Islam ditafsirkan sewenang-wenangnya, maka yang lahir nanti bukannya Islam tetapi hanyalah kumpulan nilai-nilai sejagat yang difikirkan sesuai dengan abad kedua puluh satu. Sekiranya ini dibiarkan berlaku, maka bukan Islam yang mentadbir, mengarahkan dan menentukan corak kehidupan manusia tetapi sebaliknya manusia yang akan mengarahkan, memerintahkan dan menentukan corak Islam yang 'sesuai dengan zaman'. Akan timbul konsep moral baharu di mana kriteria baik dan buruk, benar dan salah bukannya dari tuntutan Ilahi tetapi berdasarkan persepsi subjektif seseorang individu atau sesebuah masyarakat mengenai apa yang baik dan buruk baginya. Jika ini dibiarkan berterusan, berkemungkinan (na'uzubillah) Islam juga akan menerima nasib seperti yang diterima oleh agama Kristian setelah isi kitab Injil dibiarkan ditafsirkan sewenang-wenangnya kononnya mengikut peredaran zaman (contohnya Church of England kini memandang remeh bahkan meng'halal'kan riba, arak, judi, homoseksualiti, hubungan di luar nikah dan pengguguran anak). Kita tidak menolak kemungkinan golongan yang melaungkan slogan pemodenan dan 'progresif' ini ikhlas mahukan Islam maju dan berkembang di era menjelang abad ke-21. Namun, apa pun niat kita, kita perlu berhati-hati dengan kaedah yang digunakan. Pada hemat saya, kebangkitan Islam tidak mungkin terjadi sehingga kita memutuskan hubungan pemikiran dan neraca penilaian kita daripada pengaruh luar. Malangnya, walaupun sudah beberapa dekad kita membebaskan diri daripada belenggu penjajahan fizikal penjajah, namun ramai umat Islam yang masih terjajah akal fikiran dan pandangan hidup; masih mempunyai 'inferiority complex', masih merasa rendah diri dengan falsafah dan idealisme Barat sehingga sanggup menilai deennya (cara hidupnya) dengan perspektif penjajah.
Nota editor:
[1] Dalil dari segi periwayatannya definitif, muktamad dan pasti.
[2] Dalil dari segi interpretasinya diduga, belum pasti dan terbuka kepada perselisihan pendapat.
Sumber: Harakahdaily
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan