AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

Sabtu, 1 November 2014

Hadis Nabi tiada yang bercanggah dengan Al-Quran

بسم الله الرحمن الر حيم

إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمرانالآية: 102

Foto Saya
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

 

Hadis Nabi tiada yang bercanggah dengan Al-Quran


Beberapa kali percubaan pihak yang bermasalah di dalam hati mereka menghubungi saya bagi mengadakan siri perdebatan mengenai hadis dan statusnya di dalam Islam.

Slogan mereka ialah kami tidak menolak hadis tetapi hanya menolak hadis-hadis yang bertentangan dengan Al-Quran sahaja.

Jawapan saya adalah mudah, iaitu tiada hadis sahih yang bertentangan dengan Al-quran kerana hadis ialah pentafsir dan penerang kepada Al-Quran.

Pengertian hadis di dalam Islam ialah “Setiap sesuatu yang disandarkan kepada nabi Muhammad salallahualaihiwasalam baik berupa perkataan, perbuatan, pernyataan atau sifat.” (Lihat : Mustolah Al-Hadis Wa Rijal, ms.11, tulisan Syeikh Prof. Dr. Hasan Muhammad Maqbuli Al-Ahdal)

Maka apabila disebut perkataan hadis yang menjadi maksud kita ialah hadis yang sahih kerana hadis itu membawa maksud perkataan dan ucapan nabi salallahualaihiwasalam dan hanya hadis yang sahih ini sahaja yang diyakini datang daripada nabi.

Pengertian hadis sahih ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, kuat ingatannya serta sanadnya bersambung dan tidak pula ada kecacatan (Illat) juga kejanggalan (Syaz) pada hadis.

Oleh yang demikian, apabila sesebuah hadis sahih itu sampai kepada kita maka beriman dan menerima hadis tersebut ialah wajib.

Ini kerana peranan hadis atau sunnah rasulullah itu ialah sebagai penerang dan penjelas isi kandungan Al-Quran.

Seperti Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran). (Surah ‘Ali Imran :164)

Peranan Rasulullah ialah mengajarkan isi kandungan Al-Quran kepada umat baginda dan setelah kewafatan baginda yang sampai dan tinggal kepada kita ialah Hadis baginda dan teladan serta para sahabat baginda yang menjadi rujukan kita di dalam beragama.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka. (Surah an-Nahl :44)

Lihatlah bagaimana Allah swt menggunakan kalimah “Litubayyina” yang bermaksud “untuk menerangkan” sebagai bukti kukuh peranan rasul ialah untuk menerangkan isi kandungan Al-Quran dan hadis baginda yang mengandungi penerangan-penerangan terhadap agama ini perlu dijadikan hujah dan panduan di dalam beragama.

Hadis sahih adalah mustahil bertentangan dan bercanggah dengan Al-Quran.

Adapun hadis yang bercanggah dengan Al-quran ialah bukan hadis kerana sudah pasti apa yang dianggap sebagai hadis dan didapati bercanggah dengan Al-Quran itu sebenarnya ialah hadis yang palsu atau apa-apa yang disandarkan kepada nabi oleh manusia tetapi hakikatnya bukanlah datang daripada nabi Muhammad salallahualaihiwasalam.

“Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru. Dan Tiadalah apa yang diucapkannya itu terjadi dengan menurut kemahuan hawa nafsunya. Sebaliknya ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” – An-Najm : 2-4.

Kita sememangnya diperintahkan untuk memeriksa dan memastikan hanya hadis yang sahih sahaja diterima dan diamalkan di dalam agama tetapi kemunculan golongan yang disebut sebagai anti hadis itu hakikatnya mereka sebenarnya mempunyai niat yang jahat terhadap agama ini dan bersikap prejudis terhadap ulama Islam secara melampau.

Mereka mendakwa tidak menolak hadis sebaliknya hanya menolak hadis yang bercanggah dengan Al-Quran, persoalannya apakah wujud hadis sahih yang bercanggah dengan AL-Quran ?

Jawapannya ialah tiada dan hal ini sudah dijelaskan bahawa percanggahan yang kelihatan berlaku secara zahir di dalam beberapa buah hadis sahih dengan Al-quran sebenarnya tidak langsung berlaku apa-apa percanggahan tetapi sebenarnya hadis itu membawa maksud yang lain, sebagai penjelas dan memperincikan lagi hukum yang di bawa oleh Al-Quran.

Hal ini dapat difahami dengan mudah apabila kita menguasai bahasa arab, kemahiran sasteranya dan kebolehan menguasai ilmu asasi disiplin Islam seperti tafsir, feqah, usul dan mustolahah hadis. Namun golongan yang mahu dikenali sebagai intelek ini mereka tidak pula berhasrat mahu menyusahkan diri mempelajari disiplin Islam demi mencari kebenaran dan memastikan apakah mereka sudah mencukupi syarat untuk mengeluarkan pendapat di dalam agama.

Tahukah anda apa yang dikehendaki oleh mereka ?

Jawapannya mudah, iaitu mereka mahu menjadikan hanya Al-Quran sebagai panduan dan hadis hanya diterima jika didapati oleh mereka tidak bercanggah dengan Al-quran.
Pertanyaan kita ialah bagaimana mahu diketahui apakah sesuatu hadis itu bercanggah atau tidak dengan Al-Quran ?

Jawapan mereka mudah, iaitu dilihat pada zahir ayat Al-Quran dan Hadis. Tujuan mereka supaya sesiapa sahaja boleh mentafsirkan Al-Quran dan Islam tidak dimiliki hanya oleh para ulama untuk bercakap tetapi oleh semua manusia yang boleh membaca Al-Quran.

Apabila hadis ditolak hanya kerana didapati secara zahir bercanggah maksudnya dengan Al-Quran sedangkan hakikatnya ialah tidak namun kerana itulah pendapat mereka maka mereka mahu Islam menjadi lebih mudah dan lebih ringan daripada sekarang.

Tiada hudud kerana bagi mereka ianya bercanggah dengan Al-Quran

Tiada solat berjemaah kerana bagi mereka hadis mengenainya bercanggah dengan Al-Quran

Tidakkah anda melihat betapa bahayanya golongan ini ?

Menolak peranan hadis yang bertanggungjawab menjelaskan maksud syarak, menerangkan cara ibadah dan pertunjuk di dalam menuju Allah swt.

Menerima pendapat mereka akan meruntuhkan Islam hampir 70 peratus syariat yang sudah dibina oleh rasulullah dan para sahabat serta para ulama Islam sejak zaman berzaman.

Mereka kerap kali mengutarakan laungan bahawa ulama Islam melakukan tokok tambah di dalam agama dan mewujudkan sesuatu undang-undang yang bukan daripada Al-Quran.

Puncanya senang, kerana mereka tidak boleh berbahasa arab, tidak memiliki disiplin ilmu agama dan amat sukar bagi mereka untuk menewaskan para ulama di dalam berhujah maka tuduhan murah bahawa ulama Islam menyelewengkan agama menjadi laungan mereka bagi memburukkan ulama-ulama Islam.

Mereka agaknya lupa bahasa arab telah dipilih sebagai bahasa yang menjadi pengantara bagi wahyu-Nya dan dipilih untuk memuliakan bangsa yang melahirkan rasul utusan terakhir ini sebagai bahasa bagi Al-Quran dan disebut oleh Allah swt :

“ Dan sesungguhnya kami telah turunkan Qur’an itu dalam bahasa arab moga-moga kamu memikirkan (memahaminya).” (Surah Yusof : 2)

Adakah mereka pernah terjumpa mana-mana ayat Al-Quran yang membolehkan Al-Quran diterjemah dan difahami di dalam bahasa selain Arab ?

Ternyata perbuatan mereka adalah lebih bercanggah dengan Al-Quran !

Allah memerintahkan kita mengikut hadis rasulullah dan mengikuti pertunjuk baginda di dalam beragama sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam :


ألا أوتيت القرأن ومثله معه


“Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (iaitu Sunnah).” (Hadis Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643)

Imam Syafie ra juga pernah mengatakan : “Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran.” (Sila lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, ms. 302)

Bahkan Allah swt telah befirman yang Maksudnya ; “Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman.” (surah al Anfāl : ayat 1)

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain bagi urusan mereka” (surah al Ahzāb : ayat 36)

“Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (surah al Hasyr : ayat 7)

Tidak semua ayat di dalam Al-Quran mudah difahami oleh para sahabat nabi yang berbangsa arab apatah lagi oleh manusia yang tidak pandai berbahasa arab maka kerana itulah hadis berperanan mentafsirkan Al-Quran.

Contohnya pada tafsiran ayat berikut :
Ketika turunnya ayat :

Maksudnya :
“ Mereka yang beriman dan tidak mencampuri iman mereka dengan kezaliman.” (Surah Al-An’am : 82)

Maka para sahabat pun kehairanan bagaimana memakai (mencampuri) keimanan dengan kezaliman maka mereka pun bertanya kepada baginda lalu baginda pun menjawab dengan sabdanya :



انما هو الشرك



Maksudnya : “Sesungguhnya yang dimaksudkan ialah Syirik.” (Hadis Sahih, riwayat Bukhari no.3560, lihat Fathul Bari Jilid 6, ms. 484 & Muslim no. 124)

Begitulah juga seperti dalam Surah Al-Kausar ketika ditanya kepada baginda apakah itu Al-Kausar maka baginda menjawab :


الكوثر نهر أعطانيه ربي فى الجنة


Maksudnya : “Al-Kausar itu ialah sungai yang diberikan oleh tuhanku di Syurga.” (Hadis Sahih, riwayat Muslim no.400 & Ahmad Jilid 3, no. 102)

Tanpa hadis menafsirkan Al-Quran bagaimana kita mahu mengetahui maksudnya ? Sudah pasti yang dikehendaki oleh golongan anti hadis itu ialah supaya umat islam jahil akan maksud dan tuntutan sebenar Al-Quran.

Peranan Hadis Terhadap Al-Quran
• Penguat dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al Quran seperti dalam perkara pengsyariatan sembahyang, puasa dan haji.

• Penghurai dan pentafsir bagi ayat-ayat al Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai cara perlaksanaan sembahyang, kaedah jual beli, menunaikan zakat dan haji dan sebagainya yang mana perkara-perkara tersebut hanya disebutkan secara umum oleh al Quran.

• Menjadi keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tiada di dalam al Quran seperti dalam hal memakan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih seperti anjing yang mana buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan pemburu terlatih tadi dan kesan tersebut menunjukkan haiwan pemburu tadi menangkap buruan untuk dirinya sendiri. di dalam al Quran hanya dibenarkan memakan buruan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih. Maka dalam hal ini, hadith menerangkan bahawa buruan yang mempunyai kesan dimakan oleh haiwan pemburu adalah haram dimakan.

• Menasakhkan hukum yang terdapat di dalam al Quran.Sesetengah ahl al Ra’y berpandangan bahawa hadith yang dapat menasakhkan hukum al Quran itu mestilah sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatîr, Masyhûr ataupun Mustafhîdh.

• Menerangkan mengenai ayat yang telah dinasakh dan ayat mana yang telah dimansukhkan.

Menurut ulama Hanafiyyah, hadith-hadith Mutawatîr dan Masyhûr boleh menasakhkan hukum al Quran manakala Imam Syafie menolak penasakhan itu.

Di dalam bidang ibadat, hadis memainkan peranannya dalam menghuraikan maksud ayat-ayat al Quran mengenai pengsyariatan sesuatu bentuk ibadat dengan lebih jelas. Tambahan pula, hadis juga memperincikan lagi masalah-masalah yang berhubung dengan pelaksanaan sesuatu ibadat sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.

Dalam bidang hukum atau undang-undang, hadis memperincikan hukuman-hukuman dan undang-undang yang terdapat di dalam al Quran seperti hukuman terhadap penzina.

Hadis juga berbicara meliputi soal-soal yang berhubung dengan keadilan sosial, ekonomi dan politik. Hadis juga menerangkan mengenai hal-hal mengenai masalah-masalah perseorangan dan kekeluargaan seperti soal nikah, cerai dan talak.

Begitu juga kita tidak menemui secara khusus tentang larangan al Quran terhadap amalan rasuah dan menyorok barang dagangan dan perkara-perkara ini diterangkan di dalam hadis. (Lihat : Al-Wajiz Fi Usul Fiqh, Dr Abd Karim Zaidan)

Cukuplah umat Islam dimusuhi oleh pihak Orientalis yang mendakwa Al-Quran itu ciptaan Muhammad dan sekarang anak-anak murid mereka yang terdiri daripada orang Islam pula mengatakan bahawa hadis itu ciptaan ulama dan syariat Islam ini hasil reka dan tokok tambah ulama Islam.

Sabda rasulullah salallahulaihiwasalam yang menyangkal dakwaan mereka ;


ان العلماء ورثة الأنبياء وان الأنبياء لم يورثوا ديناراولا درهما وانما ورثوا العلم

“ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” (Hadis Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan