Rahasia Lailatul Qadar Menurut Ihya’ ‘Ulumiddin
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى آله وصحبه وسلم
Bismillahir Rahmanir Rahiim
Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:
Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)
Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung
makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan
perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan
hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla.
Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan
menyedikitkan makanan.
Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’nya.
HURAIAN
Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang antara
penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan
bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan
manusia. Menurut Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada alam malakut ini
terbuka pada Malam Al-Qadar.
Sabda baginda Rasulullah saw :
“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling
atas hati anak Adam, niscaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang
tinggi.” (Ahmad)
Sebelum melanjutkan uraian ini, hendaklah kita fahami bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis :
1. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku
2. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar
3. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.
4. Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’ Malam Al-Qadar itu.
Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara yang
pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti
terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak
berkocak, pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang
yang kacak berserban dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam
terlalu sunyi, tercium bau yang sangat wangi dan pelbagai lagi.
Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud malam
itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar.
Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah
dengan dapat melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti
yang disebutkan tadi. Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan
dikejar-kejar oleh mereka. Jika berjaya melihat atau mengalami sesuatu
yang luar biasa pada malam itu, bukan main puas hati dan kadang-kadang
sampai ke tahap berbangga dengan orang lain yang gagal memperolehinya.
Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah ‘dapat lailatul
Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.
Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar. Jenis inilah yang
dikehendaki oleh Rasulullah saw, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan
membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu
bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar. Dapat kelebihan
Malam Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar,
adalah jauh lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar
tetapi tidak menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan
membanyakkan amal padanya.
“Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh (hari) yang
akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya),
mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya
sebegitu.” (Bukhari, Muslim)
Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan mengerjakan amal
pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam Al-Qadar.
Jenis keempat? Ikuti uraian di bawah.
Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak
pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali memberikan
tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang
diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui
istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang
banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu
“menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”,
nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.
Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal
ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah
karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang
penuh dengan (makanan) yang halal.”
Berdasarkan petuah ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah
makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu
berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada
pandangan Imam Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai
jenis makanan pada setiap hari. Perlakuan ini tidak ubah seperti
mengumpulkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan
makan malam untuk di makan sekaligus pada waktu Maghrib.
Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan
dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain.
Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan yang sukar kita temui
pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.
Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan jua untuk menggembirakan
sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang yang
sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak
memperbaiki keagamaannya.
Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali
dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada
puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan
hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka
apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah
lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan
dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka
dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak
dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”
Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan
yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan
yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan
makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau
tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari
kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan
puasanya itu.”
Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan perut. Semakin
lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan keinginan
kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan keinginan
pada hari-hari biasa. Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan
dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata.
Akibatnya, lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan.
Akhirnya, kita makan dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada
hari-hari yang tidak berpuasa. Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang
berperanan sebagai penunduk hawa nafsu?
Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali : “Apabila perut ditolak
(dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga
perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya
(keinginannya untuk makan), kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan
makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan
berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu,
apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas
kebiasaannya.”
Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang sangat
istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu
malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis :
1. Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya makanan
membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu
melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.
2. Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana perut
yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa
itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan
banyak berehat dan tidur.
Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul Qadar itu,
padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan
tercari-cari malam berlangsungnya.
Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam terakhir
Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan
menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan
berlapar pula pada malamnya? Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah
sekadar untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai
kenyang dan puas. InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang
kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah
‘menyaksikannya’.
Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi
hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”
Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum memadai. Kata
Al-Ghazali : “Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat
penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa
mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk
mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN ALLAH
‘AZZA WA JALLA. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU
adalah dengan menyedikitkan makanan.”
Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
WaAllahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan