بسم الله الرحمن الر حيم
إن
الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات
أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا
الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران
– الآية: 102
Hakim & Neraka
Maksudnya: “Dan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, mereka itu seperti orang Siddiqiin dan orang yang mati Syahid di sisi Allah; bagi mereka pahala dan cahaya mereka; dan orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”Al-Hadid : 19
Ya Allah,
selamatkanlah kami semua daripada hakim-hakim dan pemerintah yang zalim
lagi aniaya. Selamatkan kami semua Ya Allah, daripada api neraka.
Hakim
mempunyai peranan dan martabat yang sangat penting dalam masyarakat.
Keadilan banyak bergantung kepada ketelusan, integriti dan kesaksamaan
mereka dalam proses penghakiman dan kejituan mereka ketika menjatuhkan
hukuman. Keadilan juga bergantung kepada darjat kesaksamaan sesuatu pola
undang-undang yang digunapakai atau dikuatkuasakan. Semakin tinggi
kebijaksanaan perumus sesuatu pola perundangan, semakin tinggi merit dan
nilai keadilan yang dapat dinikmati oleh khalayak rakyat dan orang
ramai.
Meskipun
manusia dengan segala kebijaksanaan dan kepakaran mereka bersama boleh
menampilkan suatu kebijaksanaan menghasilkan pola perundangan yang baik,
namun Allah S.W.T sebagai Tuhan
yang mencipta manusia jauh lebih bijaksana dan jauh lebih adil
berbanding manusia; walau betapa bijak dan pakar mereka sekalipun. Sebab itu Allah S.W.T menegaskan dalam firmanNya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisiNya.”An-Nisa’: 40
Allah S.W.T menegaskan lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.”Yunus: 44
Penegasan
hal ini dapat dilihat dalam surah At-Taubah ayat 70, Al-Ankabut ayat 40,
Ar-Rum ayat 9, Al-Imran ayat 117 dan banyak lagi ayat lain yang
menegaskan kemutlakan keadilan dan kebijaksanaan Allah S.W.T melalui
ketentuan perundanganNya yang sangat adil.
Namun
realitinya, sebahagian umat Islam sudah tidak lagi yakin bahawa
undang-undang Allah S.W.T yang adil itu boleh memberikan keadilan.
Mereka lebih yakin undang-undang ciptaan manusia lebih sesuai dan adil.
Oleh itu, hakim-hakim mereka melaksanakan tuntutan undang-undang ciptaan
mereka dengan harapan akan mendapatkan keadilan. Meskipun
undang-undang tersebut zalim dari persepsi syariat, namun mereka
tetap mendambakan keadilan atau kadar kezaliman yang paling minimum
dengan undang-undang ciptaan manusia yang serba berkepentingan dan
memihak kepada orang yang berkuasa dan berpengaruh. Sebab itu mereka tidak mungkin bahagia di dunia, apatah lagi di akhirat.
Luahan
kekesalan mengenai undang-undang ISA dan perlaksanaan undang-undang yang
tidak adil dinyatakan dengan jelasnya oleh saudara Zaid Ibrahim dalam
surat terbukanya kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau menegaskan:
Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada kerajaan kelihatan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap kerajaan. Bagaimana inidividu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.
(Lihat surat terbuka saudara Zaid Ibrahim secara lengkap dalam pautan berikut:http://shura-asia.org/shura/modules.php?name=News&file=article&sid=256)
Pada tahap
ini nampaknya manusia berkenaan masih mengharapkan keadilan atau
kezaliman nisbi dengan perundangan yang sangat tidak lengkap, tidak adil
dan kurang berperikemanusiaan. Bilakah perumus undang-undang, rakyat dan hakim-hakim Muslim akan kembali kepada keadilan dan pola perundangan Ilahi?
Jawapannya, sudah tentu bergantung kepada sampai di mana seluruh rakyat
dan elit politik mereka mendapat keinsafan dan keyakinan semula
terhadap keunggulan pola sistem perundangan Allah… sampai di mana mereka
mahu kembali dengan tuntas kepada fitrah dan agama fitrah iaitu Islam
dan perundangannya. Allah S.W.T menyesali kedegilan mereka dengan
firmanNya:
Maksudnya: “Masih belum tibakah lagi masanya untuk orang yang beriman itu khusyuk dan tunduk hatinya mengingati Allah dan (mematuhi) kebenaran yang telah diturunkan (oleh Allah)? Juga untuk tidak bersikap seperti golongan ahli kitab sebelum ini. Oleh kerana terlalu lama (mengalpakan ajaran Tuhan) hingga hati mereka menjadi keras. Manakala kebanyakan mereka adalah golongan yang fasiq.”Al-Hadid: 16
Keunggulan
dan keadilan pola perundangan Islam sebenarnya telah dipudarkan oleh
keadaan sosiopolitik yang muram di samping imej umat Islam yang
diburukkan oleh media massa Timur dan Barat; sebagai pengganas dan
perosak peradaban manusia. Serangan budaya dan ketenteraan yang
dilancarkan kepada beberapa buah negara dan hampir ke seluruh dunia
Islam ini telah memudarkan keyakinan sebahagian umat Islam sendiri
terhadap ketelusan pola perundangan Ilahi. Sebab itu perjuangan untuk
mengangkat martabat pola perundangan Allah adalah satu kewajipan semua
umat Islam melalui usaha menobatkan sistem politik dan perundangan Islam
di samping mengangkat dan mengamalkan nilai peradaban Islam yang
unggul.
Pola
perundangan Tuhan yang adil ini juga sebenarnya menguntungkan semua
rakyat yang bukan Islam dan lain-lain kerana sifat Islam itu sendiri
sebagai agama pembawa rahmat dan keuntungan dunia akhirat kepada manusia
dan jin (seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat
107). Sebab itu, nilai dan pola ajaran Islam memang boleh menjadi asas
dan teras peradaban manusia sejagat.
Mengenai
hakim yang dimaksudkan dalam hadis sahih ialah hakim yang melaksanakan
undang-undang syariah yang adil. At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Hakim itu ada tiga kategori. Satu kategori hakim masuk syurga, manakala dua kategori hakim lagi masuk neraka. Hakim yang berilmu pengetahuan dan kemudian mengadili (kes) dengan keilmuannya maka dia masuk syurga. Manakala hakim yang mengadili tanpa ilmu (tentang kes yang diadilinya) maka dia masuk neraka. Begitu juga hakim jahil yang mengadili kes berteraskan kejahilannya maka dia juga masuk neraka.”At-Tirmidzi: 1244
Dalam
perlaksanaan pola perundangan yang adil pun hanya satu kategori hakim
yang dapat masuk syurga, maka apatah pula halnya dalam pola perundangan
yang zalim. Pastinya tiada hakim yang selamat. Bahkan semuanya ke
neraka, wal’iyazubillah (mohon berlindung dengan Allah).
Tanggungjawab
hakim tidak berakhir dengan menjatuhkan hukuman di dunia ini sahaja.
Malah hakim akan dibawa ke hadapan pengadilan Ilahi di akhirat kelak.
Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: “Dan Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, pada hari Kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika amalnya itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk dihitung: dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”Al-Anbiya’: 47
Dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-6 Allah S.W.T menegaskan:
Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?”Al-Mutaffifin : 1-6
Allah S.W.T mengingatkan kepada para hakim yang zalim dan pemerintah yang jahat dan kejam menerusi surah Ibrahim ayat 42-43:
Maksudnya: “Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim; sesungguhnya Allah hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka. Mereka terburu-buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat kerana bingung dan cemas.”Ibrahim : 42-43
(Rintihan
dan penyesalan orang zalim tersebut ketika berhadapan dengan azab Allah
di akhirat kelak dijelaskan pada ayat 44 hingga ayat 52, surah Ibrahim).
Hakim-hakim
ini sebenarnya hanya akan selamat apabila pola perundangan yang mereka
praktikkan dalam perhakiman mereka ialah pola perundangan Ilahi dan
mereka menurutinya dengan penuh kejujuran dan berintegriti. Perkara ini
pula hanya akan terhasil sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan
negara dengan kembalinya kepimpinan negara kepada golongan yang memihak
kepada Islam dan perjuangan Islam serta mereka yang mahu meninggalkan
fahaman kebangsaan sempit dan fahaman sekularisme yang sia-sia.
Bagi hakim dan manusia yang ingin tunduk kepada perundangan yang adil, Allah S.W.T menjanjikan ganjaran berikut:
Maksudnya: “Dan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, mereka itu seperti orang Siddiqiin dan orang yang mati Syahid di sisi Allah; bagi mereka pahala dan cahaya mereka; dan orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”Al-Hadid : 19
Ya Allah,
selamatkanlah kami semua daripada hakim-hakim dan pemerintah yang zalim
lagi aniaya. Selamatkan kami semua Ya Allah, daripada api neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan