Bismillah.
Saat ini, detik ini, saya pasti, bukan saya seorang saja yang merasa
kehilangannya. Bukan saya seorang saja yang merasa pilu dan hiba atas
pemergiannya. Bukan saya seorang saja yang membelek kenangan bersamanya.
Tapi, selautan manusia telah menjadi saksi akan kemuliaan dirinya.
Ribuan, mungkin hampir jutaan manusia telah mengiringi jenazahnya.
Betapa ramainya jiwa manusia yang mencintainya. Betapa banyaknya mata
yang menangisi pemergiannya. Betapa banyaknya tembakan doa daripada
ummah untuknya.
Terfikirkah kita, “Bagaimana agaknya keadaan ummah semasa pemergian Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta?”
“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)
Jika sebelum ini, kurang malah jarang sekali media massa yang popular
mahu khabarkan berita tentangnya, mahu kongsikan perkembangannya, mahu
berinya ruang untuk menerang dan berbicara, akan tetapi, sejak
pemergiannya, media massa mula sibuk menyediakan ruang untuk merakam
pemergiannya, namanya pula dinaikkan media massa semula, kemuliaannya
mula disebarluaskan dan lain-lain lagi.
Alam menjadi saksi selayaknya untuk ‘dia’, hamba pilihan Allah yang mulia. :’)
“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian
benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan
dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)
12 Februari 2015
Tarikh itu pastinya menjadi tarikh keramat buat kita semua,
lebih-lebih lagi buat pencinta ulamak, buat penggerak-penggerak jemaah
Islam kerana tarikh itu merupakan tarikh pemergian seorang ulamak
Nusantara yang amat disegani dan dihormati, Tuan Guru Nik Aziz Bin Nik
Mat. Tarikh yang sama juga merupakan tarikh pemergian Imam Hasan
Al-Banna – pengasas Ikhwanul Muslimin.
Mendapat perkhabaran pemergian TGNA, hati dan fikiran terasa lemah
semacam. Saya hanya setia menanti perkembangan di atas talian online
saja (melalui FB dan Whatsap, tv takde astro Awani, nak tengok live tv
kelantan, internet tak laju), tak berkesempatan untuk nak ke bumi
Kelantan sana. Beberapa muslimin PEDAMAI berkesempatan untuk ke sana.
Mereka begitu bersemangat! Saya sangat kagum dengan semangat mereka!
Semangat pemuda!
Kematian Yang Menghidupkan
Sungguh, ‘kematian’ ini adalah kematian yang menghidupkan! Suasananya
seakan sama saat pemergian Ahmad Ammar di Turki sana. Bezanya, arwah
Ahmad Ammar adalah seorang yang tidak dikenali semasa hayatnya, akan
tetapi tersingkap peribadinya yang mulia dan kebaikannya saat selepas
pemergiannya. Jenazahnya dikebumikan di negara Turki sana. Ramai manusia
mengiringi jenazahnya. Arwah TGNA pula adalah seorang yang sangat
dikenali dan dikagumi ramai semasa hayatnya kerana beliau merupakan
ulamak dan selepas pemergiannya, banyak jiwa dan hati yang menangis!
Lautan manusia hadir membanjiri Kg Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
Subhanallah
Jika diamati betul-betul, sungguh-sungguh, jika dimengerti
sedalam-dalamnya, perjuangan ini panjang jalannya! Tidak terhenti dengan
‘kematian’! Para ‘alim ulamak, ustaz dan asatizah, murabbi pasti akan
kembali pada-Nya, hanya Rabb yang kekal abadi. Bukan bererti, mereka
telah pergi, kita pun dah hilang semangat dan terus berhenti! Tidak!
Bahkan ianya menghidupkan hati-hati kita, jiwa-jiwa kita dan semangat
muda-mudi kita untuk teruskan perjuangan dakwah dan tarbiah serta
gerakan-gerakan Islam.
Apabila golongan-golongan tua ‘direhatkan’, maka, golongan-golongan muda mestilah lebih keras dan tekun untuk ‘bekerja’. Dunia ini tempat untuk kita berpenat, akhirat sana tempat untuk kita berehat. Jalan ini, jalan dakwah, tarbiah dan perjuangan adalah sunnah terbesar Nabi Muhammad s.a.w. Jalan ini bermatlamatkan satu iaitu mahu Islam dijulang dan didaulatkan!
Andai semasa hayat TGNA, kita tidak berapa kenal akan dirinya, tidak
pernah bersua dengannya, tidak pernah membaca buku-buku tintanya, tidak
pernah mendengar ceramah/kuliahnya, maka, jangan berasa hina dan kecewa!
Gagahkan diri! Ubah diri! Kenali dirinya agar bertambah cinta pada
golongan ulamak, bacalah buku-buku hasil tintanya, cuba dengar
ceramah/kuliahnya yang ada dalam Youtube, CD dan lain-lain lagi.
Nescaya, kita akan rasa ‘sesuatu’ terhadapnya. Bukan rasa benci, bukan
rasa mahu menghina dan mengutuk para ulamak akan tetapi rasa kasih,
sayang dan cinta pada golongan ulamak. Jika ada yang berbeza pandangan
dalam isu politik, maka, itu terpulang pada individu itu sendiri. Akan
tetapi, jasa beliau dalam gerabak politik, dakwah, tarbiah dan
perjuangan Islam, memang tak dapat disangkal! Ramai sudah kader-kader
dakwah yang lahir hasil daripada tarbiah dirinya.
Kenal Untuk Cinta
Akhir kalam, suka untuk saya kongsikan di sini, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah)
orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila
orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang
baik. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri
untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami,
jauhkan azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah
kebinasaan yang kekal”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat
menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan
(harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan
adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan
orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak
membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan
(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan
demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan
dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal
dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang
bertobat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka
diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh,
maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang
sebenar-benarnya. ” (Surah Al-Furqan : 63-71)
Dalam satu buku tulisan arwah TGNA, “PEMISAH ANTARA IMAN DAN KUFUR”
(cetakan pertama : 1996), ayat di atas ada disebut dalam satu topik
iaitu ‘Sifat-sifat Hamba Allah Yang Mendapat Kemuliaan’. Buku ini
merupakan buku pertama TGNA yang saya baca. Selepas itu, barulah saya
seronok nak mencari dan membaca buku-buku tulisan beliau lagi. Sungguh,
sifat-sifat yang mulia itu ada pada diri arwah TGNA.
Selamat berehat murabbi ummah
Selamat berehat murabbi ummah, moga kita dapat bersua di akhirat
sana, di hadapan Allah! Insya-Allah! Nabi Muhammad s.a.w yang kita
rindui dan cintai juga telah lama pergi, namun, tetap menjadi tugas kita
untuk menyambung wasilah dakwah, tarbiah dan perjuangan Baginda s.a.w.
Moga Allah redha.
Pemuda pemudi! Bangkitlah! Tanggungjawab, tugas dan amanah kita lebih banyak daripada masa yang kita ada!
Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik,
telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya
daripada Abdillah bin Amru bin al-Asr r.anhuma katanya : Aku mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT tidak
menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada
hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan
kematian ulama sehingga tiada lagi yang ‘alim. Ketika itu, orang ramai
melantik ketua-ketua mereka dari kalangan yang jahil dan apabila mereka
ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa
berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kalau sebelum ni, kita malas belajar! Ubahlah! Rajinkan belajar dan
menuntut ilmu terutama ilmu agama! Ambil peluang untuk kenali, dekati,
ziarahi, tadah kitab dan belajar dengan para ‘alim ulamak, para ustaz
dan asatizah, sebelum mereka ‘dipanggil pulang’. Rajinkan diri untuk
hadir ke majlis-majlis ilmu. Kalau sebelum ni, kita asyik beralasan, tak
sempat nak buat kerja-kerja Islam, tak sempat nak turun ke lapangan
untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah, maka, ubahlah! Susun masa dan
gerak kerja kita! Percayalah, makin kita sibuk, makin kita pandai nak
urus masa! Jangan pernah biarkan hati dan diri melekat pada duniawi!
Tajdid kembali niat kita, moga benar hanya kerana-Nya!
Integriti Ulama Penentu Kekuatan Ummah
Salah satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat
dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan yang amat
berpengaruh iaitu ulama’ dan umara’ berperanan memperkasakan ummah.
Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW
bersabda mafhumnya:
“Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka
masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat
akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’’.
Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’
adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara
mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak
mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan
anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang
benar.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“ Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti
bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut
dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang
berpandukannya nyaris sesat ”.
Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah
masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah
ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“ Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah
bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang
yang dizalimi”.
Menjelaskan betapa berat peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:
“ Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa
bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling
celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah
pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu
akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan.
Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan
makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab
kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan”.
Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa:
“ Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar
makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman
pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela
menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka
itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk
menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi
sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh
kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana
pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.
Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana
ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat”.
Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut
ternyata terdapat kebimbangan bahawa kelemahan integriti atau kekurangan
sifat amanah, kejujuran, keikhlasan dan jatidiri di kalangan
ulama’-umara’ itu akan menjejaskan kekuatan ummah. Oleh kerana itu
berdasarkan pemerhatian mimbar isu-isu integriti inilah yang menimbulkan
ketegangan hubungan di antara ulama’ dengan umara’ dan ulama’-sesama
ulama’. Persoalan besar timbul ialah apakah kaedah untuk mengukuhkan dan
mempertingkatkan integriti ulama’ dan umara’.
Firman Allah SWT dalam surah an- Nisaa’ ayat 59 maksudnya:
“ Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul
dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih
dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya
jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Berdasarkan ayat ini jelas Allah mencabar dan memberi peringatan jika
kita beriman, maka rujuklah dan berpeganglah dengan al-Quran dan sunnah
untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu-isu yang berkaitan dengan
kepentingan Islam dan ummah.
Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh
kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan
sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini
mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian
kerjasama dan hubungan harmoni ulama’ dan umara’ akan membantu
memperkasakan ummah dan menentukan negara berada di landasan yang selari
dengan Siasah Shar’iyah. Memang disedari bahawa bidang kuasa ulama’ di
negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa umara’ yang luas.
Oleh itu, walaupun tinggi integriti ulama’, dan hebat kewara’kan ulama’
tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat
dan negara terletak di bawah bidang kuasa umara’.
Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab
bersama mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam
memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah
ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat
Islam yang cintakan agamanya.
Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28 maksudnya:
“Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”
Mimbar amat yakin langkah umara’ atau pemerintah menjemput ulama’
dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari
dengan tuntutan Islam.
Adalah diseru ulama’-umara’ yang berada di kampung-kampung dan di
bandar-bandar serta sidang jemaah sekalian dalam usaha memperkasakan
ummah, marilah kita mewujudkan dan mengekalkan integriti berdasarkan
syor seperti berikut:
- Bercakap benar dan mengakui kesilapan,
- Mengamalkan apa yang dicakapkan,
- Menunaikan janji dan komitmen yang dibuat,
- Bersedia menanggung risiko dalam usaha mempertahankan pendapat; dan
- Tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Maksudnya: “Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan
perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak
dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain
daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan
batallah apa yang mereka telah kerjakan)”. (Sural Huud: 15-16)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan