AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

Rabu, 13 Februari 2013

Kelebihan Berwakaf

Di Tulis oleh:
Al Fadhil ustaz Muhamad Najib Sanuri

Kelebihan Berwakaf

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama') berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.

Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah :-
﴿ مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّاْئَةٍُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ ﴾
سورة البقرة : ۲٦١

Mafhumnya :-
“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.
( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )
Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud :-
عَنْ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ تَعَالى عنه ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : ‏ ‏إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثَةٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمِ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ. ‏  
﴿ رواه مسلم ﴾
Maksudnya :-
“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
( Hadis Riwayat Muslim )

Hikmah Berwakaf
Allah s.w.t berfirman didalam surah al-imran ayat 115 yang bermaksud:
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka lakukan, maka mereka tidak sekali-kali akan dinafikan atau disekat daripada mendapat pahala. Dan ingatlah allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.
Antara hikmah yang terdapat didalam ibadah wakaf ialah:
  • menzahirkan pengabdian diri kepada allah s.w.t
  • sebagai langkah mendekatkan diri kepada allah s.w.t
  • mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
  • berkongsi manfaat dikalangan umat islam dalam menyemarakkan syiar islam.
  • Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan
  • Ianya juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat islam di Negara ini khususnya.

Wakaf

Pengertian

Wakaf dari segi bahasa bermaksud tahan atau berhenti.
Wakaf dari segi istilah pula bererti menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.
Wakaf ialah menahan harta tertentu yang boleh diambil manfaat daripada zatnya untuk digunakan pada tujuan kebajikan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan tidak boleh dijadikan jual-beli atau "hibah" pada zat benda yang diwakafkan itu.
 

Hukum Syarak

Hukum wakaf adalah HARUS dalam syariat Islam dan ia adalah amalan yang digalakkan dengan berdasarkan nas al-Quran dan hadis. Terdapat banyak hikmah yang diperolehi dengan mewakafkan harta. Antaranya adalah seperti berikut:
  •  Membuka jalan ke arah ibadah kepada Allah s.w.t.
  •  Merealisasikan minat orang  beriman yang suka memberi wakaf dan berlumba-lumba dalam amal kebajikan dan mengharapkan pahala
  •  Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf selepas kematian selagimana harta wakaf tersebut berkekalan
  •  Untuk kebaikan Islam, seperti membina masjid, surau, tanah perkuburan dan sebagainya
  •  Membantu mengurangkan bebanan orang fakir dan miskin serta anak yatim
     

Dalil

Al-Quran
Firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 92: Maksudnya: kamu tidak sekali-kali akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian apa yang kamu sayangi.  Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Hadis
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:
" Apabila mati seseorang itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang termanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya."

Diberitakan dari Ibnu Umar bahawa Umar mendapat bahagian sebidang tanah di Khaibar. Beliau berkata, "wahai Rasullullah.  Saya mendapat sebidang tanah di Khaibar sedangkan saya belum pernah mendapat yang lebih berharga daripada itu. Apa yang sebaiknya saya lakukan?" Rasullullah S.A.W menjawab, "Bila kamu mahu, sedekahkanlah."  Lalu Umar menyedekahkan tanah itu dengan syarat tidak boleh dijual, dihibahkan dan diwariskan.  Tanah itu harus digunakan untuk digunakan kaum miskin, karib kerahat, para hamba sahaya, orang-orang lemah, dan ibnu sabil.  Pengelola tanah mengikut sekadarnya"
(Hadis Riwayat Jamaah)
 

Jenis-jenis Wakaf

Wakaf terbahagi kepada dua (2) jenis, iaitu:
  •  Wakaf Mutlak (Am)
    Seseorang yang mewakafkan sesuatu harta untuk maslahah umum
  •  Wakaf Muqayyad (Khas)
    Wakaf yang mempunyai syarat tertentu terhadap harta wakafnya selagimana tujuannya tidak menyalahi syarak

Rukun wakaf

  •  "Waqif" iaitu orang yang mewakafkan
  •  "Maukuf Alaih" iaitu pihak yang menerima wakaf
  •  "Maukuf" iaitu benda yang diwakafkan
  •  "Sighah" iaitu ijab dan qabul. Ia boleh dilakukan samada secara lisan, tulisan ataupun syarat yang jelas mengenai wakaf


Syarat-syarat

Orang yang mewakafkan

  •  Beragama Islam
  •  Cukup umur (akil baligh)
  •  Waras (sempurna akal fikiran)
  •  Ahli tasarruf / tabaruk
  •  Pilihan sendiri (ikhtiari)
  •  Merdeka

Harta yang diwakafkan

  •  Harta itu mestilah benda yang dapat di ambil manfaatnya
  •  Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud waktu itu
  •  Harta yang diwakafkan itu memberi faedah yang berpanjangan
  •  Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak
  •  Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlah
  •  Milik sempurna orang yang memberi wakaf

Lafaz wakaf

  •  Hendaklah dilafazkan bagi orang yang bertutur
  •  Hendaklah diganti dengan tulisan atau isyarat bagi orang yang tidak boleh bertutur
  •  Lafaz wakaf mestilah difahami oleh penerima wakaf atau saksi
  •  Lafaz wakaf mestilah jelas dari segi jenis wakaf, luas, tempat, bentuk dan jumlah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan