بسم الله الرحمن الر حيم
إن
الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات
أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا
الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران
– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
AMALAN
ZAHIR ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN
TERSEMBUNYI DALAM AMALAN ITU.
Amal lahiriah digambarkan sebagai batang
tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang menghidupkan batang
tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik daripada latihan
kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal apakah ia
bernyawa atau tidak.
Hikmat 10 ini menghubungkan amal dengan
ikhlas. Hikmat 9 yang lalu telah menghubungkan amal dengan hal. Kedua-dua
Kalam Hikmat ini membina jambatan yang menghubungkan hal dengan ikhlas,
kedua-duanya ada kaitan dengan hati, atau lebih tepat jika dikatakan ikhlas
sebagai suasana hati dan hal sebagai Nur Ilahi yang menyinari hati yang
ikhlas. Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati menyambut kedatangan
sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya
kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur
yang dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t.
Hati yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda
tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun mengenal
Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati yang mempunyai
ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi menggambarkan ikhlas dan
hubungannya dengan makrifat:
Dan sebenarnya perempuan
itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul)
keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan
Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami),
untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan
yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan
dari segala dosa. ( Ayat 24 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf a.s adalah hamba Allah
s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam pemeliharaan Allah s.w.t.
Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan kekotoran, Nur Rahsia
Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia menyaksikan dengan
jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan rangsangan
jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh orang
arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang kepada
Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di
dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t
baik semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya.
Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan
ikhlas.
Dia Yang Tetap Hidup;
tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu
akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala
puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang memiliki
segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada dalam
alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan
oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan
dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan
segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan mengikhlaskan
kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa takut dan gentar
kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka sembahlah
kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi bawaan
syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang
demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah menetapkan kod etika
kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan, disebarkan dan diperjuangkan
oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas kerana
Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang
menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan
yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila
menemui Tuhan kelak.
Katakanlah: “Tuhanku
menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu)
hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap
kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal
agama kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan
kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”.
(
Ayat 29 : Surah al-A’raaf )
Sekali pun sukar mencapai peringkat
ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar diperolehi keadaan
hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir mahu pun yang
batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t
akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat bahawa Allah
jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina. Hamba
berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di dalam
makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang memerintahkan
supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana perintah Allah
s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana sesuatu
yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan
pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia
masih melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba
Allah s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih
mempengaruhi hatinya.
Setelah kerohaniannya meningkat hatinya
dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang tidak
lagi melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya
dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah
s.w.t. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan
anugerah Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.
Tingkat ikhlas yang paling rendah
ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar
tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang dijanjikan Allah
s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar
kepada amal, iaitu hamba yang mentaati Tuannya kerana mengharapkan
upah daripada Tuannya itu.
Di bawah daripada tingkatan
ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal kerana
sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar
orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah. Orang
dari golongan ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan mereka
adalah umpama tubuh yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan
di hadapan Tuhan nanti akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang
yang melakukannya. Setiap orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah
mengusahakan ikhlas pada amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai
amalan tersebut, sebanyak ketiadaan ikhlas itu.
(Amalkanlah perkara-perkara
itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu
pun dengan-Nya.
(Ayat 31 : Surah al-Hajj )
“Serta (diwajibkan
kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah)
agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang
musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja
yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan
tidak juga dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau
mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang
yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).
(
Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )
Daging dan darah
binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa
dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya berbuat
ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada syirik. Jika
sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang berkuasa
mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal tersebut.
Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang yang
kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas itu dipanggil
orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.
Intisari kepada ikhlas adalah melakukan
sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak ada kepentingan lain. Kepentingan
diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang paling utama. Kepentingan diri
lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan, keseronokan, kedudukan,
kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang lahir daripada nafsu itulah
yang sering menghalang atau merosakkan ikhlas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan