JANGANLAH
KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH
BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH
MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK
KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA,
TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.
Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu
sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh
untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan
meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga
tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon
pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil
air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya.
Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh
hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya
Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan
langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya.
Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak
sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi
atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t.
Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak,
doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Dan Allah berkuasa
melakukan apa yang di kehendaki-Nya.
( Ayat 27 : Surah Ibrahim )
Semuanya itu
tunduk di bawah kekuasaan-Nya.
( Ayat 116 : Surah al-Baqarah )
Ia tidak boleh ditanya
tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
(
Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )
Sebahagian besar daripada kita tidak sedar
bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan
doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya
sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata,
“Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya.
Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang
berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu
bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah
sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah
rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.
Doa adalah penyerahan bukan tuntutan.
Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk
tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan
segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara.
Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan
menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin
apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita
sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya
daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha
Penyayang lagi Maha Mengetahui.
Tidakkah Allah yang
menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia
Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. (
Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dialah yang mengetahui
segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa sahaja ayat keterangan
yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan),
Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu?
( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail),
Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t
yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang Dia
mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama baik. Dia
boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun dan
Dia Maha Berkuasa.
Seseorang hamba sentiasa berhajat
kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan.
Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada
Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan
yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia
hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua
doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya
berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai
segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan
boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang
menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia
telah menetapkan buat Diri-Nya:
Bertanyalah (wahai
Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?”
Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas
diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Orang yang beriman selalu mendoakan:
“Wahai Tuhan
kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah
kami dari azab neraka”.
( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t
diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya.
Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika
kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada
penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya
dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba
itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke
arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan
doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.
Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada
Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah
diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha
Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat
tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku
tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya
hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari
api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya.
Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka,
maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya
Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.
Dan Tuhanmu menciptakan
apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu
dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah
layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan
Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka
sekutukan dengan-Nya.
{ Ayat 68 : Surah al-Qasas } |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan