بسم الله الرحمن الر حيم
إن
الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات
أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا
الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ
إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمران
– الآية: 102
OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
Hukum Hudud Dan Cara Pelaksanaannya
1. Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah
hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim.
Justeru sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya,
kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa
yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke 36 :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ
إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ
مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا
مُّبِينًا
maksudnya :
"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau
perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan
sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa
yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang
mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
suatu kesesatan yang nyata."
2. Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan
secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan
dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan
dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus
dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat
ketetapan Allah swt di dalam surah al Maaidah, ayat 49 :
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ
اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن
بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ
أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ
كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
maksudnya :
"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan
apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak
memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah
swt kepada kamu."
3. Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun. Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
maksudnya :
"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu
melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka
mereka adalah orang - orang yg zalim"
4. Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip
keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas
muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum
Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif,
ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan
sebagainya adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang
justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan
akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ
نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا
غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat
keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap
kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang
lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana."
Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.
إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا
وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا
يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ
وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ
"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah
dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada
mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu
langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di
dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang
melakukan jenayah."
5. Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang
sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini
kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum
Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit
kes. Non muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum
Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka
tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah
perlaksanaan hukum sedia ada. Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ
لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ
وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ
فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka
memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau
mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang
telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan
kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di
antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil."
Wajib Melaksanakan Hukum Hudud
6. Para alim ulama' telah memudahkan kita dengan menggariskan kategori ilmu dan syariat Islam seperti Ibadah, Muamalat, Munakahat dan Jinayat. Hudud
adalah sebahagian dari undang - undang Jenayah Islam. [ Bahagian yang
lain ialah Qisas dan Ta'zir. Insyaallah bahagian Qisas dan Ta'zir akan
saya jelaskan di lain kesempatan.] Lantaran itu ia adalah sebahagian
dari kesempurnaan Islam yang selayaknya dipelajari, difahami, dilaksana
dan dihayati.
7. Inilah keistemewaan Islam sebagai agama yang syumul dan
lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah soal
perundangan. Ianya wajib dilaksana sebagaimana kita wajib menunaikan solat, puasa dan ibadah yang lain. Firman Allah dari surah an Nisa' ayat 105 menjelaskan kewajipan ini .
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ
بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُن
لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab
(Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara
manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui
wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang
khianat"
8. Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :
a] Agama : melalui undang - undang murtad
b] Nyawa : melalui undang - undang qisas
c] Aqal : melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan : melalui undang - undang zina
e] Harta benda : melalui undang - undang curi dan rompak.
9. Hari ini ummat Islam berhadapan dengan peningkatan serius indeks
kadar jenayah. Bermula dengan jenayah riddah [murtad], jenayah bunuh,
jenayah zina, jenayah rompak samun dan sebagainya. Tiada siapa yang
dapat nafikan betapa graf kadar semua jenis jenayah ini semakin
meningkat dari masa ke semasa dan ia gagal ditangani oleh undang -
undang yang dicipta oleh manusia. Persoalannya, kenapa tidak, kita
melaksanakan undang - undang Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Tuhan
yang mencipta manusia ? sedang pastinya undang- undang Allah swt lebih
berkesan untuk menyelesaikan masaalah manusia sebagai makhluk yang
diciptaNya.
10. Ummat Islam dan pemimpinnya mesti mencari 1000 jalan
untuk membolehkan syariat Islam ini didaulatkan di atas negara kita
yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Bukan mencari 1000
alasan atau dalih untuk mengelak diri dari melaksanakan perintah Allah
swt. Jika British Law boleh dilaksanakan sekian lama dalam
negara kita sedang hampir tiada penduduk tetap negara kita berbangsa
British, kenapa masih ada sebahagian dari kita yang begitu prejudis
terhadap perlaksanaan hukum Islam [hudud] sementara majoriti penduduk
negara kita ialah mislim. Hayati Firman Allah swt dari surah at Taubah ayat 63 :
أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَن يُحَادِدِ
اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا
ذَٰلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيمُ
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang
(perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya
neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian
adalah kehinaan yang besar"
Hukum Hudud di dalam Al Quran dan As Sunnah
11. Sebelum saya belayar jauh untuk menjawab pelbagai persoalan yang
timbul di benak pemikiran masyarakat mengenai hukum hudud, eloklah
sementara saya masih di dermaga perbincangan terlebih dahulu saya
paparkan bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah didraf, digazet dan
dilaksanakan lebih 1400 tahun yang lalu melalui dokumen induknya Al
Quranul Kareem dan As Sunnah an Nabawiyah.
12. Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk dengan 6 atau 7
jenis kesalahan dan jenayah. [ saya ringkaskan dari Kitab Mugni al
Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan
Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin
Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah rhm. ]
a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah
menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat
sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di
dalam surah an Nuur ayat 2 :
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ
وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ
فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ
الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu
sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan
janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap
keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman
kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa
yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang
beriman."
b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang baik
lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal
membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes
ialah sebat sebanyak 80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ
لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ
جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَٰئِكَ هُمُ
الْفَاسِقُونَ
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada
perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak
membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali
sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu
selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"
c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman yang
memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak
demikian juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes
ialah sebat tidak lebih dari 80 kali dan tidak kurang dari 40 kali.
Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang
diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah :
جلد رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعين و أبو بكرٍ أربعين و عمرُ ثمانبن و كلٌّ سنَّةٌ و هذا أحبُّ إليَّ
رواه مسلم
maksudnya :
"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak
40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali
sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80
kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang
lebih aku sukai."
d] Mencuri : Mengambil atau memindah secara
sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan
tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya.
Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut.
Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 :
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri
maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan
sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan
kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau
membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad
[keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada
Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis
Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.
من بدل دينه فاقتلوه.
رواه البخاري
"Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia."
f] Hirabah : Merompak samada secara individu atau
secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau
membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan.
Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut :
€ : Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.
€ : Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.
€ : Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya.
€: Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.
Bentuk hukuman ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 - 34 :
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ
اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن
يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم
مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي
الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan
RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan
dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas),
atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong
tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau
dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).
Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka,
dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat
menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah,
bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
g] Bughah : segolongan ummat Islam yang melawan dan
menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] yang adil dan
menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan
dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran
Islam [ murtad ] tetapi mereka diperangi dengan kaedah dan syarat
tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9 :
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى
الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ
اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ
وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang,
maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim
terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia
kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka
damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),
serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
Nota : Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum
Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan
pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara
terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan
ke atas bughah.
13. Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah satu dari
jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum
untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang
disabitkan dibawah hukuman Hudud ini tanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan, perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.
14. Sebagai peringatan awal kepada pembaca, saya hanya membawa
bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah dijelaskan oleh al Quran dan
Sunnah. Di sana masih terdapat perbahasan penting oleh para alim
ulama' bersumberkan dari nas tersebut yang perlu diketahui oleh kita
iaitu bagaimana proses menyabitkan kes seperti pembuktian,
pembicaraan, syarat sabit kes dan seumpamanya. Begitu juga kaedah
perlaksanaan hukuman apabila ia telah disabitkan. Pendek kata, masih
banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami mengenai hukum Hudud
ini.
Benarkah hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana masih ramai ummat Islam yang tidak memahami hukuman tersebut ?
15. Saya juga sarankan kepada semua pembaca bagi mendalami soal
hukum Hudud ini dengan mengambil langkah pro aktif mempelajarinya
secara langsung justeru ia adalah sebahagian dari ilmu Islam wajib
dipelajari oleh ummat Islam. Zaman moden ini terlalu banyak kaedah dan
kemudahan untuk mempelajari ilmu Islam ini. Terpulang kepada
kesungguhan kita.
16. Masjid dan surau juga boleh mengambil langkah yang sama
untuk membuka kelas pengajian berkait Perlaksanaan Hukuman Hudud
secara bersiri menggantikan kuliah maghrib yang kadangkala hanya
bersifat tazkirah biasa atau pengajian yang telah berulang
kali dipelajari seperti bab bersuci, haid, nifas, solat dan haji tanpa
saya menafikan pengajian itu juga penting untuk diulangkaji.
17. Saya tegas menasihati mereka yang tidak mengetahui dan
mendalami pengetahuannya mengenai hukum Hudud ini agar tidak membuat
ulasan dan kenyataan berasas fikiran sendiri apalagi menafsir hukum
Hudud secara bukan - bukan dan jauh tersasar dari konteks hukum Hudud
yang sebenar. Kelak ia akan memudaratkan diri kita sendiri
apabila berdepan dengan kemurkaan Allah swt ekoran pandangan dan
ulasan yang bertentangan dengan kehendakNya.
18. Jahil mengenai hukum Hudud tidak boleh menjadi hujjah
bahawa hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan sebagaimana jahil mengenai
solat tidak boleh menjadi hujjah solat tidak boleh ditunaikan.
Ini kerana hukum Hudud samalah seperti kewajipan Islam yang lain
justeru ianya telah dinaskan di dalam al Quran dan Sunnah sementara
hukum Hudud juga telah digazet dan dilaksanakan oleh Rasulullah saw
sejak hari pertama Baginda saw memerintah bumi Madinah al Munawwarah.
19. Malah perlaksanaan undang - undang negara hari ini yang
merupakan fotostat dari undang - undang penjajah telah dilaksanakan
dalam negara kita sejak mula negara merdeka tahun 1957 yang lalu,
tanpa perlu pun menunggu rakyat memahami undang - undang tersebut. Bahkan
mengikut kaedah perundangan, sesuatu undang - undang itu tidak
terbatal hanya kerana pesalahnya tidak mengetahui undang - undang
tersebut atau dalam erti kata lain, pesalah itu tidak mengetahui bahawa
apa yang dilakukan itu adalah suatu kesalahan di sisi undang - undang
sekalipun, ia tetap tertakluk kepada undang - undang tersebut.
20. Apatah lagi undang - undang Islam yang telah siap drafnya
melalui al Quran dan Sunnah secara muktamad untuk diguna pakai
sepanjang zaman, malah telah digazet dan dilaksana sejak mula Islam
memerintah di bumi Madinah al Munawwarah lebih 1400 tahun yang lalu.
Pula terlalu banyak kitab dan buku yang dikarang oleh para sarjana
Islam bagi membantu ummat Islam memahami undang - undang Islam ini di
sepanjang zaman. Kalau kita tidak mengetahuinya, maka ia bukan salah
undang - undang tersebut tetapi kecuaian kita kerana gagal mempelajari
dan memahami undang - undang tersebut.
21. Alasan kononnya ramai ummat Islam tidak memahami hukum Hudud
maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah
bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah
swt. Ajaibnya, ramai ummat Islam tidak memahami undang -
undang British yang diamalkan dalam negara kita hari ini, tetapi
sesuai pula dilaksanakan ? seperkara lagi , masih adakah ummat
Islam hari ini yang tidak tahu zina itu salah, mencuri itu salah,
membunuh orang itu salah, minum arak itu salah ? atau ia adalah
bertolak dari kedegilan untuk patuh pada perintah Allah swt ?
Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman
hudud akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan
ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden
ini ?
22. Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud
ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala
kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku
secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil
ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari
ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta
manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada
manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan
India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa
di dalam surah al Hujurat ayat 13 :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم
مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ
لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ
ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
"Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan
kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu
berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali.
Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah
yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya."
23. Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh
dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima
hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan
manusia [ makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang
lebih mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan
batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la.
Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu
menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam
surah al Baqarah ayat 138 :
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
"(
Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang
kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan
seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih
baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat"."
24. Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah
seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama
Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual
operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti
menggunakan Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh
syarikat pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui
bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan
baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh
menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk
produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.
25. Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah
swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem yang
disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di
dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang
lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk
Allah swt lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu
dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh Allah swt.
26. Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari Allah swt.,
bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan mencetuskan
huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum Allah
swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami
apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang
dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan
dalam negara kita .
27. Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang
sedang solat, gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku
setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri
derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat,
yang kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan
bebas, pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam
negara kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa
salahkan hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?
28. Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan
mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt
tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga
merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah
diserlahkan melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38
:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri
maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan
sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah
kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana."
29. Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud
kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat
Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah
sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap
hukuman Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan
dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata
lain, tidak melakukan perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina,
menuduh orang lain yang baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum
arak. "Berani kerana benar dan takut kerana salah" adalah bidalan para
bijak pandai yang masih terpakai hingga ke hari ini.
30. Non muslim juga tidak perlu takut terhadap perlaksanaan hukum
Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas ummat
Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka
bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan
sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama
mereka jika agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas
kesalahan yang dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara
kita, kembali kepada undang - undang konvensional yang ada pada hari
ini. Keputusan memberi hak memilih kepada non muslim ini adalah dari
ketetapan Allah swt yang tidak boleh persoal oleh manusia. Firman Allah
swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن
تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم
بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka
memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka
datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau
engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di
antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil."
31. Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab Tafseer al
Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei, asy
Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak
memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah
dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum
yang disediakan oleh agama mereka.
32. Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm
menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم بما
انزل الله lalu mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua
kepada hukum Allah swt ini.
Hudud adalah Adil dan Menyelamatkan
Hukum hudud sangat dibimbangi oleh non muslim kerana
perlaksanaannya dianggap kejam serta ketinggalan zaman. Apakah benar
tanggapan tersebut ?
33. Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Tuhan Yang Maha Adil
lagi Maha Bijaksana. Tuhan yang mencipta manusia, Tuhan yang
menjadikan langit dan bumi malah seluruh alam ini. Realiti ini sangat
difahami dan diterima oleh non muslim. Firman Allah swt :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ
اللَّهُ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada
mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi,
dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah
makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka
bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada
mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
Surah Al Ankabut : 61
34. Oleh kerana Islam adalah agama yang datang dari Tuhan yang Maha
Adil lagi Maha Bijak, maka ia adalah agama yang membawa sinar keadilan
buat ummat manusia melalui syariat atau peraturannya serta
menyelesaikan masaalah ummat manusia dengan penuh kebijaksanaan yang
akhirnya membawa ummat manusia menjadi ummat yang sejahtera, tenang,
selamat, aman dan bahagia bersama agama ini. Firman Allah swt :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ
وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا
اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ
الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ
أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ
ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan
mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,
sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka:
khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan
mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk
mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah
mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat
kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan
(ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah
orang-orang yang derhaka.
Surah An Nuur : 55
35. Selain janji Allah bahawa syariatnya adalah adil dan membawa
kebaikan kepada ummat manusia, semua dari kalangan kita samaada muslim
atau non muslim dapat menyaksikan sendiri bagaimana hukum Allah swt
ini benar - benar adil melalui kaedah dan hikmah perlaksanaannya.
Namun ianya mestilah dilihat dan diteliti dengan jujur tanpa sebarang
sceptical terhadap hukum Allah swt [ hudud] Tuhan yang Maha Mencipta
ini.
36. Hudud adalah suatu hukum yang mengandungi 2 elemen
utama iaitu balasan setimpal ke atas penjenayah dan sistem tegah kawal
dari Allah swt. Ertinya hukum hudud adalah hukum yang hanya
dijatuhkan atau dikenakan ke atas penjenayah yang telah sabit kes agar
segala perbuatannya dibalas setimpal dan menimbulkan kesedaran atau
keinsafan pada dirinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan jenayah
tersebut dan ia juga menjadi sistem yang menegah pihak lain dari
melakukan jenayah sepertinya.
37. Perlaksanaan hukum hudud ini tidak perlu ditakuti atau
dibimbangi lagi jika inilah prinsip dan kaedah perlaksanaannya. Bahkan
semua pihak samaada muslim atau non muslim akan mendapat faedah yang
baik dan positif dari perlaksanaannya. Antara yang boleh saya nyatakan sebagai contoh positifnya kesan perlaksanaan hukum hudud ialah :
a) Hudud tidak menjejaskan FDI negara kerana
apa saja bentuk sistem perundangan di mana-mana Negara, sekiranya
undang-undang yg dilaksanakan itu memelihara hak, mencegah
penganiayaan dan menghindar jenayah, maka pelabur akan lebih yakin
justeru negara tersebut terhindar dari korupsi dan penindasan. [Hudud
merupakan suatu undang-undang pencegahan dan mendidik.]
b) Hudud tidak akan menjejaskan pelancongan
sekiranya pelancong datang bercuti untuk mencari ketenangan, melawat
untuk menikmati keindahan alam serta sopan santun penduduknya dan
shopping untuk mendapatkan barang keperluan mereka dengan harga yang
berpatutan. Kecuali pelancong itu datang untuk melakukan maksiat dan
mungkar yang boleh merosakkan dirinya dan menularkan budaya keji itu
dalam negara kita. Negara kita tidak perlu pelancung maksiat
sebagaimana kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Thailand (pusat
percutian seks) atau Macau (pusat percutian judi).
c) Enakmen Hudud membenarkan kemaafan dan
menggalakkan reconciliation serta mencari sebab mengapa kesalahan
dilakukan seperti dalam kes qisas umpamanya, saudara yang kena bunuh
boleh memaafkan pembunuhnya. Pencuri yang mencuri kerana sebab darurat
seperti lapar yang amat, maka ia tidak akan dipotong tangan.
Sebaliknya menurut ajaran Islam, kerajaan mesti menyalurkan wang zakat
kepadanya atau menyediakan peluang pekerjaan kepadanya.
d) Perlaksanaan hukuman hudud memerlukan penelitian dan saksi yang cukup dan ia dilaksanakan dengan berhati hati dengan berpaksi kepada prinsip keadilan dan ketelusan.
e) Hudud juga adalah undang - undang yang sangat berpotensi mencegah jenayah dan mungkar.
Malah ia menyelamatkan masyarakat dari terjebak dalah pengaruh
jenayah dan budaya mungkar yang merosakkan tamadun atau peradaban
manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, hudud mampu melahirkan
negara yang aman, masyarakat yang sejahtera dan keluarga yang bahagia
kerana mereka bebas dari ancaman jenayah, mungkar dan maksiat. Bahkan
non muslim turut menikmati suasana ini.
Bayangkan apabila tiada lagi mabuk - mabuk, kesempitan wang akibat
kalah judi dan jenayah seksual, maka rakyat akan selamat dan terasa
aman serta bahagia. Justeru sebahagian besar jenayah yang berlaku hari
ini adalah akibat mabuk, kalah judi dan kegagalan mengawal syahwat.
Dari sinilah berlakunya rompak, samun, culik, rogol, bunuh dan
sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan