AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI

Rabu, 30 April 2014

Penindasan Terhadap umat Islam

بسم الله الرحمن الر حيم

إن الحمد لله نحمده تعالى ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهديه الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له ، واشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، واشهد أن محمد عبده ورسوله
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون} سورة: آل عمرانالآية: 102

OLEH:AL FADHIL USTAZ MUHAMAD NAJIB SANURI
 
Penindasan Terhadap umat Islam
 

Mukaddimah

Manusia seolah-olah sudah lali dengan perkara-perkara yang sering mereka temui setiap hari. Apabila manusia pertama kali mendengar sesuatu berita tentang kekejaman yang berlaku, mereka menjadi begitu prihatin. Namun demikian, keprihatinan mereka itu hanya menjadi suatu perkara rutin tidak berapa lama `kemudian.
Peperangan dan konflik yang berlaku di dalam dunia yang sedang kita diami ini adalah kes yang paling jelas dan nyata. Apabila sesebuah negara dijajah dan kemudian proses penyembelihan dan genosid (Pent: Tiada terjemahan tepat untuk perkataan genosid, maka istilah ini dikekalkan. Genosid ber­maksud pembunuhan seluruh bangsa atau kaum yang tertentu) bermula, kita akan dapat melihat banyak protes-protes anti-kekejaman yang diadakan di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh, mari kita merenung semula detik-detik pertama tercetusnya konflik di Bosnia, ataupun Chechnya, ataupun Palestin... Imej seorang kanak-kanak Palestin yang berada di riba ayahnya yang tidak lama selepas itu menjadi sasaran peluru askar-askar Israel, bayi-bayi Chechen yang dibunuh ketika mereka sedang lena diulit mimpi, wanita, golongan tua dan kanak-kanak yang menjadi mangsa genosid yang sangat mengerikan di Bosnia... Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang bertali-arus, yang tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi. Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak sewenang-wenangnya ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak periuk api... Walau bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka lebih suka membaca gosip-gosip artis berbanding berita-berita peperangan. Oleh sebab itulah, kematian manusia yang berlaku di Palestin, Chechnya, Kashmir ataupun Timur Turkistan hanya sekadar menjadi suatu "berita rutin."
Tambahan pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan kebuasan-kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik sahaja. Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap sebagai urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah suatu perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel dan Palestin, dan penekanan puak Hindu ke atas penduduk Kashmir sebagai masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu. Memang benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Namun demikian, faktor-faktor dalaman dan ekonomi bukanlah satu-satunya penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang dideritai oleh umat Islam di rantau Balkan yang dilakukan di hadapan mata penduduk dunia. Di dalam bab-bab yang seterusnya, kita akan dapat melihat bahawa konflik-konflik yang tercetus itu adalah disebabkan identiti umat Islam itu sendiri.
Mereka dihimpit dengan berbagai-bagai bentuk penindasan kerana mereka adalah golongan yang beriman kepada Allah dan mahu hidup dengan berlandaskan Islam, dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang-orang yang beriman juga. Kewujudan negara-negara kuat yang mementingkan nilai-nilai spirituil atau sebuah liga Islam yang kuat yang akan melindungi hak-hak umat Islam seadil-adilnya, telah menimbulkan ketakutan kepada golongan-golongan tertentu di Barat dan juga telah menimbulkan ancaman terhadap kepentingan pihak-pihak tertentu.
Aspek lain tentang hal ini ialah terdapat sesetengah manusia yang tidak mengetahui apa-apa pun tentang masyarakat yang hidup di negara-negara tersebut, dan malah tidak pernah mendengar sama sekali nama negara-negara itu. Situasi bagi seseorang yang tidak memiliki sebarang idea tentang kepayahan, penindasan, kekejaman, kebuluran, dan kemiskinan yang dideritai oleh umat Islam Sudan, Algeria, Indonesia, Myanmar, Djibouti dan Tunisia sebenarnya memerlukan suatu "makanan" untuk mengisi minda mereka. Ada juga segelintir manusia yang menyedari kekejaman dan ketidakadilan tersebut. Namun dia tidak mencuba untuk menghulurkan sebarang bantuan ataupun berusaha untuk menghentikan penindasan tersebut. Tambahan lagi, mereka sungguh yakin bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa, malah laporan-laporan yang dibaca dan imej-imej kekejaman yang dilihat menerusi televisyen tidak dapat menyedarkan mereka walaupun sedikit.
Seseorang yang benar-benar beriman, walau bagai­mana­pun,bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar. Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran:
Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)
Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa mereka, dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokkan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran. Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar di atas bahu mereka: iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan keindahan-keindahan yang dibawa olehnya, menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran, dan melancarkan peperangan ideologi kepada golongan ateis... (Pent: iaitu golongan yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan)
Sesiapa yang mengambil tugas mulia tersebut akan dapat membebaskan semua insan yang hidup di bawah penindasan dengan bantuan petunjuk al-Quran:
...Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)
Paint S 6.jpg
Tujuan utama penulisan buku ini adalah untuk mendedahkan penderitaan umat Islam yang tidak berdosa di serata dunia, dan juga untuk menyeru mereka yang berkesedaran untuk memikirkan tentang situasi tersebut dan seterusnya mencari jalan penyelesaiannya. Ini bukan masanya untuk kekal membisu, bersifat tidak kisah, mengejar kesenangan kecil dunia ini, dan membuang masa dengan perdebatan dan pertengkaran yang sia-sia. Ketika berjuta-juta umat Islam menderita disebabkan oleh kekejaman dahsyat tersebut, kita adalah manusia yang tersangat-sangat mementingkan diri sendiri jika enggan memikul sebarang tanggungjawab untuk menegakkan agama Islam. Tidak menjadi satu keraguan bahawa perbuatan tersebut hanya menyebabkan kita menerima akibat yang pedih di akhirat nanti.

Musuh-musuh Dunia Islam

Perikatan anti-Islam berhadapan dengan umat Islam

Bab-bab yang berikutnya akan mengkaji dunia Islam negara demi negara, dan akan mendedahkan penindasan dan kekejaman yang dikenakan kepada umat Islam. Walau bagaimanapun, sebelum itu, kita mesti melihat punca-punca serangan yang di­lancar­kan kepada dunia Islam.
Kawasan yang dikenali sebagai dunia Islam terdiri daripada negara-negara yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Islam. Ia bermula dari Maghribi dan Mauritania di Barat sehinggalah ke Indonesia di Timur. Majoriti terbesar, dalam 1 bilion, yang men­diami kawasan tersebut beragama Islam. Sejak lebih 200 tahun, mereka telah berhadapan dengan pelbagai jenis serangan, penindasan, dan keganasan malah pernah dibunuh beramai-ramai hanya kerana mereka beragama Islam. Ini disebabkan ramai orang-orang Islam yang hidup di bawah rejim bukan Islam yang bencikan Islam.
Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Turkistan Timur, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar dan juga Sudan. Jika dilihat secara sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang ber­lainan. Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Kaukasus, dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir, dan Maghribi. Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada perkaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa, dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.
Kuasa-kuasa yang menafikan kewujudan Allah itu dan melihat agama-agama ketuhanan - terutamanya Islam, satu-satunya agama yang korup - sebagai musuh paling berbahaya kepada sistem sekular mereka dan seterusnya mengisytiharkan perang keganasan terhadap agama dan mereka yang beriman, sebenarnya mewakili ideologi-ideologi ateis. Inilah sebabnya mengapa musuh sebenar Islam bukannya orang-orang Serbia, Hindu ataupun pelbagai rejim-rejim penindas yang lain, tetapi adalah pegangan tidak beragama yang menyelubungi dunia ini. Dasar peperangan menentang Islam tersebut berakar-umbi daripada ateisme dan telah bermula sejak sekian lama.

Kolonialisme dan Kebencian Terhadap Islam

Bangsa-bangsa kolonialis seperti Britain, Perancis dan Itali telah melakukan penderaan yang sangat kejam ke atas umat Islam yang tinggal di negara-negara Islam yang mereka jajah, dan juga turut melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Dunia Islam tidak selalunya kekal statik. Beberapa ratus tahun dahulu, dunia diperintah oleh empayar Islam. Pada permulaan tahun 1700, hampir seluruh dunia Islam ditadbir oleh tiga empayar agung. Empayar Moghul memerintah India, manakala Empayar Safavid memerintah Iran dan kawasan-kawasan sekitarnya. Kuasa ketiga dan yang paling berkuasa ialah Empayar Uthmaniyah, yang memerintah seluruh Semenanjung Balkan termasuklah Anatolia (sekarang digelar Turki), Mesopotamia (sekarang digelar Iraq dan Syria), Semenanjung Arab, dan Afrika Utara.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga empayar tersebut akhirnya hilang secara beransur-ansur daripada peta dunia. Empayar Moghul menjadi lemah, menjadi semakin kecil, dan akhirnya tumbang. Sub-benua India akhirnya jatuh ke dalam tangan kolonial British. Kawasan yang dikenali sebagai Indocina telah dikoloni oleh Perancis. Kerajaan Safavid di bahagian tengah Asia akhirnya jatuh di bawah peme­rintahan British dan Rusia. Empayar Uthmaniyah, empayar umat Islam ketiga dan yang paling kuat, akhirnya menjadi semakin kecil bermula sejak permulaan abad kesembilan belas. Tanah-tanah jajahan Uthmaniyyah di Barat telah jatuh ke tangan Rusia, dan negeri-negeri Balkan telah dipengaruhi olehnya. Timur Tengah, Semenanjung Arab dan Afrika Utara telah dikuasai oleh British, Perancis dan Itali. Dengan berakhirnya Perang Dunia Pertama, sebahagian besar dunia Islam telah diperintah oleh kerajaan-kerajaan bukan Islam.
Kesemuanya merupakan kuasa kolonial dunia ini. Pada tahun 1920-an, Rusia dan Itali menyertai negara-negara kolonial tradisi seperti Britain dan Perancis. Negara-negara tersebut telah menjajah dan menguasai dunia Islam. Mereka tidak teragak-agak untuk melakukan penyeksaan kejam dan kezaliman ke atas populasi umat Islam yang berada di bawah pemerintahannya. Britain dan Perancis "mentadbir" umat Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, dan Timur Jauh. Dengan kata lain, mereka menuai dan menggunakan sumber-sumber alam negara Islam untuk kepentingan mereka sendiri. Soviet Rusia mengambil alih Kaukasus dan Asia Tengah, dan umat Islam di kawasan tersebut telah diperhambakan di bawah tekanan rejim komunis. Itali menawan Libya pada tahun 1911, dan kemudian melakukan penaklukan berdarah ke atas Abyssinia (sekarang digelar Ethiopia) pada tahun 1930-an.
Satu ciri penting polisi-polisi Britain dan Perancis terhadap Timur Tengah ialah penubuhan negara-negara boneka yang dipergunakan untuk memenuhi segala keperluan mereka. Order palsu di Timur Tengah itu telah menjadi benih beracun yang membawa kepada berlakunya peperangan demi peperangan. Dua kuasa besar penjajah Eropah itu telah dipaksa berundur dari kawasan tersebut setelah selesai Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, mereka pergi dengan meninggalkan satu kuasa penjajah yang lebih kejam, lebih agresif, dan lebih dahsyat: Israel.
Apabila kita melihat gambar yang mana gambaran kasar tentangnya telahpun dirumuskan, kita dapat melihat dengan jelas bahawa dunia Islam sudah menjadi sasaran kuasa asing sejak permulaan abad kesembilan belas lagi. Sepanjang tempoh 200 tahun, dunia umat Islam telah diduduki, dijajahi, ditindas dan dizalimi oleh kuasa-kuasa ini. Rejim-rejim boneka yang diletakkan oleh kuasa-kuasa tersebut di dalam dunia Islam turut menindas umat Islam, dan mereka masih melakukannya sehinggalah ke hari ini. Tambahan lagi, kuasa-kuasa luar tersebut telah mewujudkan beberapa ideologi baru yang sangat asing kepada dunia Islam, seperti nasionalisme melampau, fasisme dan komunisme. Mereka kemudiannya menggunakan golongan yang terpedaya dengan ideologi-ideologi tersebut untuk menjadi "musuh dalam selimut" kepada masyarakat Islam.

Dasar Ideologi-ideologi Permusuhan Terhadap Islam

Apabila kita menganalisis musuh-musuh dunia Islam, kita akan berjumpa dengan tiga idea-idea asas:
1. Imperialisme Barat: Sebagai contoh, kolonialisme British dan Perancis seperti yang telah diterangkan di atas.
2. Ekstrem-fasisme nasionalisme: Fasisme Itali, Israel, dan kumpulan-kumpulan profasis yang menyebabkan tercetusnya perang-perang saudara di dalam dunia Islam.
3. Komunisme: Kesatuan Soviet, China, Kemboja di bawah peme­rintahan Khmer Rouge, komunis di Afghanistan dan pelbagai lagi kumpulan komunis di Timur Tengah.
Kajian yang lebih mendalam mendedahkan bahawa ketiga-tiga idea tersebut muncul pada abad kesembilan belas, dan berkembang pada abad kedua puluh. Nasionalisme ekstrem dan fasisme yang muncul daripada kebangkitan idea-idea tersebut merupakan ideologi-ideologi yang terbit secara menyeluruh pada abad kesembilan belas, dan mula dipraktikkan dengan meluas pada abad kedua puluh. Komunisme bermula daripada teori materialisme dialektikal yang diperkenalkan oleh Marx dan Engels pada abad kesembilan belas, walaupun regim komunis yang pertama masih belum ditubuhkan sehingga tahun 1917, di Rusia.
Seseorang boleh berkata bahawa hanya kolonialisme Barat yang bermula sejak awal-awal abad, walaupun kemudian ia dirangkumi oleh inisiatif ekonomi yang terbatas dan kemudian sekali lagi mendominasi posisi global dengan menggunakan asas-asas falsafah dan ideologinya pada abad kesembilan belas.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa musuh dunia Islam yang sebenarnya bukanlah sebuah kesatuan ataupun peradaban (misalnya peradaban Barat), tetapi adalah "ideologi-ideologi" yang telah menukarkan kesatuan-kesatuan atau peradaban-peradaban tersebut kepada penindas-penindas yang hauskan darah. Ideologi-ideologi ini telah mendominasi sebahagian besar dunia pada abad kesembilan belas, dan telah membawa kekejaman dan kezaliman ke mana-mana sahaja ia pergi. Sebenarnya ideologi-ideologi inilah yang menjajah, membahagi, merompak, memperhamba, dan menyembelih umat Islam sedunia.

Kekejaman Berterusan Selama 200 Tahun Di Dalam Dunia Islam

Selama lebih dari setengah abad, umat Islam Palestin telah diusir dari kediaman mereka tanpa sebab, ditembak, dan dilakukan penderaan dan kekejaman. Namun seluruh dunia diam membisu dalam menghadapi kuasa penjajah: Israel.
Tiada bangsa atau masyarakat tertentu yang menjadi musuh dunia Islam secara khusus, tetapi ia lebih kepada sebuah “ideologi” yang telah menukar bangsa dan masyarakat tersebut menjadi penindas. Ideologi-ideologi ini mula mendominasi dunia secara meluas pada abad ke-19, dan ke mana sahaja ia pergi, pasti wujud senario kekejaman dan kezaliman dalam abad ke-20.
Apabila kita memerhatikan ketiga-tiga ideologi ini, kita dapat melihat di sebalik segala apa yang berlaku ialah peningkatan kepercayaan ateisme di Barat. Setiap daripada mereka muncul apabila dunia Barat sudah tidak mahu lagi percaya kepada Tuhan dan agama, dan mula menerima fahaman golongan materialis sebagai cara hidup mereka.
Satu kebenaran penting yang mengesahkan hakikat ini ialah ketiga-tiga ideologi ini telah diasaskan daripada teori evolusi Darwin, yang mana menggambarkan "asas saintifik ateisme" dan yang mana buat julung-julung kalinya falsafah ateis telah menjadi satu "kebenaran saintifik."

Hubungan di Antara Darwinisme, Kolonialisme dan Fasisme

Konsep pergelutan untuk terus hidup oleh Darwin telah menjadi sumber inspirasi penting kepada fahaman rasisme (perkauman), komunisme dan fasisme, termasuk juga imperialisme.
Darwinisme kononnya dipanggil asas saintifik kepada kolonialisme. Ini kerana Darwin telah meletakkan bangsa manusia di dalam kelas yang berbeza-beza di dalam proses evolusi khayalannya itu. Beliau menganggap bangsa kulit putih Eropah merupakan bangsa yang paling maju, dan menggambarkan bangsa Asia dan puak Afrika sebagai makhluk yang setaraf dengan beruk. Di samping itu, beliau turut mencadangkan bahawa semua manusia berada di dalam konflik yang tetap dan sentiasa bertarung untuk terus hidup, dan beliau mengatakan itulah "hukum alam" yang mana Barat harus memenangi pertarungan ini dan memperhambakan bangsa-bangsa yang lain. Di dalam bukunya, The Origin of Species, beliau telah menulis:
Suatu hari nanti di masa hadapan, tidak berapa jauh sahaja lagi jika diukur secara abad, bangsa-bangsa manusia yang bertamadun pasti akan menghapuskan dan menggantikan bangsa-bangsa liar di seluruh dunia. Pada masa yang sama juga, beruk anthropomorphous (seperti-manusia)... tanpa ragu lagi akan dihapuskan. Jurang di antara manusia dan kumpulan terdekatnya akan menjadi lebih luas lagi, yang mana ia (pent: iaitu kumpulan terdekat) akan mengganggu keadaan yang lebih bertamadun, sepert yang kita mungkin harap, malahan juga daripada Kaukasia, dan serendah-rendah beruk seperti babun, sebagai ganti sekarang di antara negro ataupun penduduk Australia dan gorila.1
Darwin membuat kesimpulan yang menarik ini dengan meng­gunakan konsep "perjuangan untuk terus hidup" (struggle for survival). Berdasarkan kepada dakwaan ini, yang lemah akan disingkirkan dalam perjuangan untuk terus hidup, manakala yang kuat dan lebih sesuai akan terselamat. Di samping itu, beliau mempertahankan dakwaannya dengan mengatakan proses tersebut amat penting untuk kemajuan universal, dengan kata lain penghapusan bangsa-bangsa tertentu merupakan suatu proses yang membolehkan manusia lebih maju dan melangkah lebih jauh ke hadapan.
Idea tidak saintifik yang dikenali sebagai "Sosial Darwinisme" (Social Darwinism) ini, telah diterima dengan meluas dalam dunia sains yang masih primitif ketika itu dan ia telah menjadi sumber justifikasi asas kepada kolonialisme Eropah.
Sosial Darwinisme menjadi sumber inspirasi pembentukan ekstrem nasionalisme, fasisme dan juga imperialisme. Kesemua ahli-ahli teori abad kesembilan belas yang dikenali sebagai para pengasas fahaman fasisme (seperti Friedrich Nietzsche, Heinrich von Treitschke, Francis Galton, dan Ernst Haeckel) telah dipengaruhi hebat oleh teori evolusi Darwin, terutama sekali tentang konsep "perjuangan untuk terus hidup." Mussolini, seorang diktator Itali yang telah mengasaskan rejim fasis yang pertama, merupakan ahli Darwin yang begitu setia pada zaman mudanya dan sering mengagungkan Darwin di dalam artikel-artikel yang ditulisnya. Adalah sesuatu yang jelas di dalam penulisan-penulisan Hitler dan tokoh-tokoh penting Nazi, yang menunjukkan bahawa mereka juga telah mendapat inspirasi daripada Sosial Darwinisme. (Untuk maklumat lanjut, rujuk karya Harun Yahya, Fascism: Darwinism's Bloody Ideology, Istanbul, Vural Yayincilik, 2001)

Kebencian Ideologi-ideologi Komunis Terhadap Islam

Darwinisme turut menjadi asas kepada komunisme. Ia telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels. Kedua-duanya merupakan ateis, yang melihat penghapusan ke­percayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme, dan kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.
Tidak berapa lama selepas buku Darwin diterbitkan, Engels menulis surat kepada Marx yang berbunyi: "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."2 Pada 19 Disember 1860, Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah semula jadi untuk rujukan kita."3 Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah,"4 maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.
Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin. Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis. Semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme.
Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan." Manusia adalah tidak bernyawa, makhluk yang dungu, "mesin manusia-haiwan", dan tidak berguna. Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang" telah menjadi asas pemerintahan. Mereka yang cacat dan tidak berupaya berkerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati. Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan, dan kesetiaan. Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki. Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka, dan kebencian menjadi satu perkara lumrah.
Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama. Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, berkerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme. Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, mereka akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut. Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin. Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.
Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan, dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan. Di dalam "The Attitude of the Workers' Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:
Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya. "Agama adalah candu masyarakat." Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama. 5
Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama, dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut. Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki. Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir, dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal. Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran, dan seterusnya menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan. Dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan, dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri. Kebenaran ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui. (Ad-Dukhan, 38-39)

lihat vidio ini di https://www.facebook.com/photo.php?v=695790263792327

Penindasan komunis masih terus berlaku

Kuasa-kuasa komunis menyebabkan umat Islam terus menderita dengan menyerang mereka yang tidak bersenjata: baik lelaki, wanita, kanak-kanak, bayi di ribaan.

Mengikut pandangan ideologi komunis, yang dipengaruhi oleh teori evolusi Darwin, masyarakat hanyalah “sekumpulan haiwan.” Manusia adalah sebuah jentera industri yang tidak bernyawa, yang terletak di antara makhluk manusia, haiwan dan juga mesin. Kekejaman di Chechnya telah dilakukan oleh Rusia – yang masih diperintah oleh bekas komunis – adalah bukti berlakunya amalan sistem tersebut.

Oleh itu, setiap individu harus memikirkan pertama sekali tentang tujuan penciptaannya, dan kemudian tentang makhluk atau jasad yang dilihat di alam ini dan juga yang akan dijumpai sepanjang kehidupan mereka. Seseorang yang gagal berfikir hanya akan dapat memahami kebenarannya setelah dia mati, di hadapan Allah, tetapi ketika itu segalanya sudah terlewat. Berfikirlah sementara kita masih punya masa, dan kemudian buatlah kesimpulan. Ia pasti akan memberikan faedah kepada kita di Hari Akhirat nanti. Itulah sebabnya Allah menyeru manusia, dengan menggunakan utusan-utusan dan juga kitab-kitab-Nya, untuk berfikir tentang tujuan penciptaannya dan seluruh alam semesta ini:
Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan untuk waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya ramai manusia yang ingkar tentang pertemuan dengan Tuhannya. (Ar-Ruum, 8)
Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir. Namun seperti yang telah kita lihat, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.

Kesimpulan

Secara ringkas, telah jelas bahawa ketiga-tiga ideologi yang memusuhi dunia Islam itu telah berakar-umbi dari budaya ateis yang telah menguasai dunia Barat pada kurun kesembilan belas.
Hal ini sekali lagi menunjukkan bahawa betapa pentingnya perang intelektual dilakukan untuk menentang segala fahaman ateisme, yang mana ia bukan sahaja suatu kuasa yang cuba membinasakan kehidupan manusia di Akhirat dengan menghapuskan kepercayaan beragama. Sebaliknya ia juga, pada masa yang sama, turut bertujuan untuk memusnahkan dunia ini, menukarkannya menjadi sebuah tempat yang dipenuhi kekacauan dan peperangan, dan ia melihat umat Islam sebagai sasaran utama.

Inilah sebabnya mengapa perang intelektual adalah baik kerana ia suatu tindakan untuk meningkatkan keimanan dan juga sebagai satu "perang moral" menentang "korupsi" yang sedang menguasai bumi ini. Kewujudan ramai umat Islam yang sedang ditindas oleh sistem ateis di seluruh dunia telah menyedarkan kita betapa pentingnya perjuangan tersebut. Setiap kejayaan ideologi menentang ateisme (dan juga falsafah-falsafah, ideologi-ideologi dan yang kononnya merupakan teori saintifik seperti Darwinisme yang bersandarkan kepada dasar-dasar ateis) juga merupakan kejayaan moral yang dapat membantu umat Islam yang sedang ditindas di seluruh dunia.

Kesimpulan terhadap segala penindasan ini

Era Kebangkitan Ummah; Zaman Keemasan

Di awal-awal bab buku ini, kita telah pun membincangkan tentang dunia Islam yang kucar-kacir dan konflik-konflik yang semakin meningkat. Kita telah lihat bagaimana rakyat yang tidak bersenjata berjuang untuk meneruskan kehidupan di celah-celah pertempuran bersenjata, pen­deritaan yang dialami di kem-kem pelarian, dan kesengsaraan yang dirasai oleh mereka yang dinafikan hak beragama. Para pembaca mung­kin terkejut dengan kisah-kisah yang di­dedahkan ini. Seseorang yanga gagal berfikir sedalam-dalamnya mungkin akan melakukan kesilapan dengan menganggap adalah sesuatu yang sukar untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut, dan juga menganggap apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa sebarang keputusan yang positif. Namun pada hakikatnya, ia berbeza sama sekali. Apa yang sedang berlaku adalah satu berita baik dan setiap inci perkara adalah satu tanda kedatangan zaman penuh rahmat yang pernah diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dengan kata lain ia adalah petanda kepada Akhir Zaman.

Segala Peristiwa di Tanah Umat Islam Adalah Petanda Akhir Zaman

Konsep "Akhir Zaman" mungkin agak asing bagi sesetengah orang. Jadi adalah penting di sini untuk menerangkan secara ringkas tentangnya. Menurut Islam, Akhir Zaman adalah satu zaman yang hampir dengan Hari Kiamat, iaitu satu waktu yang mana ajaran al-Quran diamalkan di seluruh muka bumi ini. Keadaan persekitarannya akan dapat memuaskan hati semua pihak. Manusia hidup dengan aman dan selamat. Kemewahan, kekayaan dan keadilan akan menggantikan segala masalah yang pernah wujud dahulu. Segala masalah moral, penipuan dan kebejatan sosial akan lenyap. Ini adalah satu zaman yang meriangkan, yang telah dinanti buat sekian lama, apabila ajaran moral al-Quran mendominasi dunia.
Hadith (kata-kata) dari Nabi Muhammad s.a.w. telah mene­rangkan segala perkara tentang peristiwa Akhir Zaman. Ramai ulama-ulama Islam terkenal yang telah memberikan kenyataan berharga tentang perkara ini. Ini semua menandakan bahawa pertama sekali dunia akan melalui zaman yang penuh bencana dan huru-hara, lalu diikuti dengan satu zaman yang mana manusia mengamalkan ajaran Islam sebenar, satu zaman yang dipenuhi kemewahan, satu zaman yang mana kebaikan teknologi dapat dinikmati dengan sebaik-baiknya, suatu zaman kemajuan saintifik dan perubatan, suatu zaman kesenian yang agung.
Pada zaman-zaman awal Akhir Zaman, berlaku kerosakan kerana wujud sistem-sistem falsafah yang cuba menafikan kewujudan Allah. Manusia lari dari tujuan sebenar penciptaan mereka, lalu membawa kepada keruntuhan spirituil dan psikologi. Bencana yang maha dahsyat, seperti peperangan, konflik dan kebuluran, akan berlaku satu demi satu. Manusia meratap berharap agar itu semua dijauhkan dari mereka. Perkara yang sama turut berlaku terhadap konflik-konflik yang terjadi di dunia Islam. Umat Islam yang cuba hidup bebas dengan mengamalkan Islam dan menurut segala rukun-rukunnya berhadapan dengan penindasan yang melampau-lampau. Wanita, kanak-kanak dan warga tua dibunuh dengan sekejam-kejamnya. Kuasa-kuasa anti-Islam yang melakukan keganasan ke atas umat Islam dan cuba menghalang penyatuan dunia Islam semakin meningkatkan lagi aras kezaliman mereka hari demi hari. Walaupun demikian, zaman penuh peperangan dan konflik ini tidak bertahan lama. Allah telah berjanji akan melepaskan manusia dari kekacauan Akhir Zaman dan membawa mereka kepada satu zaman yang lebih meng­gembirakan.

Zaman ini akan berlaku dengan kepulangan Nabi Isa a.s. Ini bermakna zaman kegelapan Islam akan pergi dan tibalah zaman kebangkitan ummah. Menurut hadith, zaman ini yang sebagai "zaman tanpa senjata," dan keamanan akan memerintah bumi ini. Beberapa hadith dari Nabi s.a.w. berkenaan dengan berita baik di zaman baru itu adalah seperti berikut:
...kedengkian dan saling membenci akan diangkat (hilang)... Bumi akan dipenuhi keamanan seperti mana sebuah bekas yang diisi dengan air. (Sunan Ibnu Majah)
Pertempuran akan meletakkan senjatanya (Sunan Ibnu Majah)
Seperti yang telah diberitahu oleh hadith tersebut, sewaktu Zaman Keemasan, wujud sebuah ikatan yang baik di antara masyarakat yang berbagai-bagai, terutama sekali mereka yang pernah berkonflik, dan persaudaraan serta kasih sayang akan menggantikan konflik yang pernah berlaku.

Umat Islam Pernah Menghadapi Kesukaran yang Sama Dahulu

Sepanjang buku ini kita telah melihat banyak penerangan-penerangan terperinci tentang penderitaan yang berlaku di negara-negara Islam, termasuk pengeboman hospital bersalin di Chechnya, pembunuhan kejam ke atas wanita hamil di Bosnia, dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang dilakukan oleh askar-askar Israel di Palestin. Namun harus diingat bahawa contoh yang serupa malah lebih teruk lagi pernah dirasai oleh masyarakat Islam di zaman dahulu. Para pemerintah ateis atau pun pemimpin terkenal dari pelbagai bangsa telah mendera utusan-utusan yang dihantar kepada mereka dan juga masyarakat yang beriman. Mereka telah mengusir rakyat yang tidak bersenjata dari tanah air mereka dan terus menindas mereka. Salah satu contoh paling jelas ialah Firaun. Sewaktu Firaun menikmati hidup yang penuh mewah, pemerintah Mesir purba ini telah menyebabkan penderitaan ke atas umat Islam di waktu itu, dengan kata lain ke atas kaum Bani Israel. Allah telah menggambarkan penderitaan kaum Bani Israel di dalam al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan para pengikutnya; mereka mengenakan seksaan berat ke atas kamu, mereka menyembelih anak-anak lelakimu dan membiarkan anak-anak perempuanmu hidup. Dan pada yang demikian itu ada ujian-ujian yang besar dari Tuhanmu. (Al-Baqarah, 2:49)
Satu rahsia penting telah diberitahu menerusi ayat ini: Kekejaman Firaun adalah untuk menguji keimanan seseorang. Dengan cara yang sama, Allah mahu menguji umat Islam pada hari ini dengan kekejaman yang sama. Ujian-ujian ini memerlukan usaha umat Islam untuk mendapatkan keredaan Allah di dunia ini dan juga syurga-Nya yang penuh dengan segala nikmat di Hari Akhirat nanti. Kenikmatan yang tidak terbatas di syurga adalah sebagai balasan ke atas orang-orang beriman yang telah hidup di dalam dunia yang sementara ini. Banyak masyarakat Islam yang telah mengalami kepayahan serupa di zaman dahulu, dan ia diuji lagi ke atas umat Islam hari ini. Allah telah menerangkannya seperti berikut:
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum lagi datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya dengan orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa dengan malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah, 2:214)
Seperti yang kita dapat lihat menerusi ayat ini, orang-orang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah dengan kesusahan dan masalah, namun Allah sentiasa memberikan bantuan. Di samping itu, seperti yang diterangkan oleh ayat tersebut, pertolongan itu pasti datang segera.

Apabila Moral Islam Menguasai Dunia, Kekejaman Akan Berakhir

Terdapat banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang merujuk kepada dominasi Islam di serata dunia. Terdapat banyak persamaan di antara semua ini dengan apa yang telah diwahyukan kepada Nabi Muham­mad s.a.w. tentang Zaman Keemasan. Memandangkan zaman ini tidak datang di zaman kita, jelaslah bahawa dominasi Islam yang meluas yang diceritakan di dalam al-Quran sebenarnya merujuk kepada Akhir Zaman yang diberitahu oleh Nabi s.a.w. Di sini adalah beberapa contoh berkenaan dengan kekuatan dan kekuasaan yang diberikan terhadap mereka yang mengikut ajaran-ajaran al-Quran:
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia pasti akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mem­per­sekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) ini maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nuur, 24:55)

Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang." Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Al-Mujaadilah, 58:21)
Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap me­nyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya di atas segala-segala agama meski­pun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Ash Shaff, 61:8-9)
Juga telah menjadi ketetapan Allah, yang telah diterangkan di dalam Al-Quran, bahawa mereka yang benar-benar percaya bahawa tiada tuhan selain Allah akan mewarisi bumi ini:
Dan sungguh telah Kami tulis dalam kitab Zabur sesudah (Kami tulis) dalam Lauh Mahfuz, bahawa bumi ini diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh. (Al-Anbiyaa', 21:105)
Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadirat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku. Dan mereka me­mohon kemenangan (ke atas musuh-musuh mereka) dan binasalah orang-orang yang melakukan sesuka hati lagi keras kepala. (Ibrahim, 14:14-15)
Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mencontohi (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak baginya). (Al-Anbiyaa', 21:18)


Kekayaan Yang Melimpah Ruah di Zaman Keemasan
Di samping kedamaian dan keselamatan, Zaman Keemasan juga adalah suatu zaman yang memiliki kekayaan yang melimpah ruah dari segi hasil keluaran dan barangan. Setiap insan akan menikmati lebih dari apa yang diingini, dan tidak wujud kelaparan dan kemiskinan. Orang-orang mukmin, dan mereka yang berusaha di jalan Allah, akan menerima segala kebaikan terhadap apa yang mereka usahakan, baik di dunia mahupun di akhirat. Kekayaan yang dapat dirasakan pada setiap masa adalah datang dari kemurahan Allah yang diberikan kepada mereka yang mengamalkan ajaran al-Quran. Segala amal kebaikan mereka akan dipulangkan dalam bentuk kekayaan yang melimpah-ruah. Di dalam satu ayat, Allah telah menggambarkan kemewahan yang akan dinikmati oleh orang-orang mukmin yang sedia mengorbankan harta benda mereka di jalan Allah:
Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada setiap bulir ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah, 2:261)
Banyak hadith-hadith yang menerangkan tentang masa tersebut yang mana kemewahan hasil keluarannya adalah tersangat banyak sehingga mereka tidak tahu hendak diberikan kepada siapa:
Sewaktu (zaman) itu, umatku akan hidup dengan selesa dan bebas yang tidak pernah mereka bayangkan. (Tanah) akan mengeluarkan hasil tanaman dan menumbuhkan apa sahaja dan harta benda ketika itu adalah melimpah-ruah. (Sunan Ibnu Majah)
....Penduduk langit dan bumi akan berasa gembira. Bumi akan menumbuhkan apa sahaja, dan langit akan me­nurunkan hujan dengan selebat-lebatnya. Daripada segala kebaikan yang Allah anugerahkan kepada penduduk bumi, yang hidup akan berharap agar yang mati dapat hidup semula. (Yanabi' al-mawadda, Jilid 2, halaman 177)
Bumi akan bertukar menjadi seperti dulang perak yang menumbuhkan sayur-sayuran...(Sunan Ibnu Majah)
Apabila ajaran al-Quran diamalkan, setiap lapisan masyarakat akan menikmati sebuah persekitaran yang adil, aman dan selamat. Kesannya, manusia akan berpaling dari kesalahan, kejahatan, penipuan dan maksiat. Hadith di bawah menerangkan tentang zaman yang penuh adil itu:
Bumi akan dipenuhi dengan kesaksamaan dan keadilan sepertimana ia pernah dipenuhi dengan penindasan dan kezaliman. (Riwayat Abu Daud)
Hati-hati manusia akan dipenuhi dengan ketaatan, dan keadilan wujud di mana-mana. (Bihar al-anwar, Jilid 51, halaman 74)


Berita Baik Zaman Keemasan
Seperti yang telah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, zaman tersebut akan menjadi seperti sebuah syurga mini. Ia adalah satu rahmat dari Allah kepada manusia yang beriman. Zaman ini yang dipenuhi dengan kemewahan dan keselesaan, yang dirindui oleh umat Islam, akan menjadi satu balasan yang indah di dunia ini kepada mereka yang mengikuti jalan Allah. Semestinya umat Islam yang menyebarkan berita baik ini akan mendapat kemuliaan.
Namun, tanggungjawab beralih dari satu tangan ke satu tangan bersama-sama dengan kemuliaan tersebut. Memandangkan inilah Akhir Zaman, maka semua umat Islam mesti menjadi lebih matang dan berazam untuk melancarkan peperangan-peperangan idea dengan cara yang lebih berkesan dalam menyampaikan berita ini. Situasi umat Islam yang menderita hari demi hari mengingatkan kepada kita tentang tanggungjawab yang harus kita sempurnakan. Adalah mustahil untuk berdiam diri sewaktu mereka yang tidak bersalah dan tidak bersenjata, yang tidak dapat melakukan banyak perkara, menjadi sasaran peluru-peluru liar pembunuh upahan. Kita juga tidak boleh berdiam diri apabila berjuta-juta manusia hidup dalam keadaan kelaparan dan kemiskinan di kem-kem pelarian dan juga sewaktu sebahagian besar umat Islam sedang didera dan dilayan seperti binatang.
Adalah salah untuk berkata, "Tiada apa yang dapat saya lakukan tentangnya." Harus diingat bahawa asas kepada kejahatan yang sedang menguasai dunia pada hari ini terletak pada ateisme, dan semua orang boleh melancarkan perang ideologi untuk menentangnya. Memberitahu manusia tentang kewujudan Allah, belajar untuk takutkan-Nya, ingatkan manusia apa yang akan berlaku di Hari Pengadilan nanti dan memberitahu manusia tentang tujuan penciptaan mereka di dunia ini, adalah di antara langkah-langkah penting yang boleh diambil bagi menghentikan segala kejahatan. Jika keadilan, tolong-menolong, kasih-sayang, cinta, semangat berkorban dan saling memaafkan dapat menguasai dunia ini, maka pastilah sebuah dunia yang aman, selamat dan adil akan dapat dikecapi. Itu semua tidak dapat dirasai melainkan semua manusia yang berkesedaran melakukan tindakan proaktif bersama-sama.
Setiap usaha yang dilakukan mesti bertujuan untuk meng­hapuskan kesan-kesan buruk fahaman ateisme dan seterusnya menggantikannya dengan sesuatu yang lebih positif. Pada masa yang sama juga, ia akan dapat membantu umat Islam hari ini. Perjuangan ini, yang bersandarkan kepada kedamaian, kompromi dan kasih-sayang, akan menyebabkan mereka yang memiliki kesedaran melakukan tindakan dan mencegah mereka yang tidak bersalah dari terus menderita. Allah telah menceritakan tentang akibat akhir perjuangan tersebut:
Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu kerana kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya). (Al-Anbiyaa', 21:18)

Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah di antara negara-negara yang sudah pun kita bincangkan tentang penderitaan yang mereka hadapi, kebanyakkan daripada mereka sebenarnya pernah menikmati satu zaman yang stabil dan aman suatu ketika dahulu, sewaktu berada di bawah panji pemerintahan Islam. Seperti yang telah lepas, umat Islam memainkan peranan penting dalam menubuhkan kedamaian dan keselamatan yang dirindui oleh manusia sejagat. Zaman yang berikutnya akan menjadi satu kesedaran besar kepada seluruh umat manusia.
Dengan izin Allah, zaman kebangkitan ummah yang ditunggu-tunggu selama ini sedang berada di dalam genggaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan