MAULID MERAIKAN KELAHIRAN RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM
MAULID MERAIKAN KELAHIRAN RASULULLAH
SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM
Apakah dia nas atau pun dalil yang terdapat didalam
Al-Quran dan As-sunnah mengenai sambutan Maulid (kelahiran)
Rasulullah (s.a.w)? Apakah pendapat para Imam dan Ulama
keempat-empat Mazhab? Apa pula pendapat ulama zaman sekarang,
yang menggelarkan diri mereka "salafi"? Mereka
menghalangnya kerana menganggap sambutan Maulid itu bida'ah
antara mereka ialah Albani, Bin Baz, al-Jaza'iri, Mashhur Salman,
'Uthaymin. Bagaimana pula mereka yang berpendapat tidak perlu
berdiri setelah selesai membaca rangkaian selawat, darud dan
puji-pujian semasa penghujung majlis Maulid - walaupun mereka
meraikannya? Ada pula yang menolak untuk mengucap
"Assalamu'alaika Ya Rasulullah" (s.a.w) dan tanggapan
mereka bahawa kita tidak boleh menyeru Rasulullah dengan
perkataan "Ya" ataupun "Oh" ?
PRAKATA
Segala puji dan puji hanya buat Allah, Tuhan seluruh alamraya
dan selawat serta salam buat Nabi dan RasulNya Muhammad dan kaum
keluarganya dan para sahabat. Didalam agama Islam terdapat dua
perayaan besar yang disebut sebagai hari Raya ataupu 'Id iaitu,
'Idil-adha dan 'Idil-fitri. Perayaan lain yang terdapat didalam
agama Islam, seperti Maulidurrasul bukan merupakan satu kewajiban
tetapi ia tidaklah pula dilarang untuk menyambutnya. Pada zaman
ini terdapat banyak suara-suara yang mempertikaikan tentang
sambutan Maulidurrasul dan ia menjadi fokus perdebatan dan
perbalahan, walaupun sebenarnya, banyak lagi isu penting yang
perlu ditangani oleh umat Islam. Zaman ini merupakan zaman dimana
musuh-musuh Islam sedang melakukan operasi besar-besaran untuk
menghancurkan ummat Muhammad, daripada dalam mahupun daripada
luar tanpa perasaan belas kasihan dan amat sedikit sekali
bilangan orang-orang yang beriman yang dapat mempertahankan ummah
ini daripada serangan-serangan ini. Zaman ini merupakan zaman
jahiliyyah Ummat Islam, sehinggakan kebenaran amat jarang sekali
dan kebatilan merupakan perkara yang biasa dan diterima umum.
Firman Allah kepada orang-orang yang beriman,"Berpeganglah
kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai"
(Ali-Imran: 103). Pada zaman ini serangan musuh bukanlah
satu-satunya penyebab penderitaan ummat Islam. Dikalangan kita
sendiri - ummat Islam - ada musuh dalam Islam, tidak perlulah
kita sebut siapa mereka kerana ianya telah pun diketahui umum.
Musuh dalam selimut ini, tidak pula suka untuk menyerang
musuh-musuh Islam yang sebenar tetapi sebaliknya, mereka
menyebarkan pula permusuhan dan perpecahan dikalangan ummat Islam
diseluruh dunia. Oleh itu saya rasa ini merupakan tanggungjawab
saya untuk melindungi mereka yang beriman daripada serangan
mereka ini, yang tidak ada kerja lain, selain mencari kesalahan
saudara sendiri. Mereka berkerja bertungkus lumus untuk menaikkan
rasa syak wasangka dan was-was kepada perkara-perkara yang sahaja
mereka timbulkan agar ianya menjadi satu yang kontroversi dan
seterusnya, menuduh saudara sendiri sebagai musyrik, kafir, dan
mubtadi'. Mereka pula dengan senang-senangnya merubah
pendapat-pendapat ulama-ulama yang terdahulu, yang selama 1400
tahun dianggap sahih dan benar oleh semua ummat Islam dan
menamainya sebagai bid'a, syirik dan kufur!
Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan
Islam kerana Rasulullah (s.a.w) umpama simbol bagi agama Islam.
Imam Mutawalli Sha'rawi telah menuli didalam kitab beliau,
Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms. 295),"Jika setiap kejadian
yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran
baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan
semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira
dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w),
kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran
baginda (s.a.w)?"
Oleh itu, untuk melindungi orang-orang awam Muslim dan Mukmin
daripada tuduhan-tuduhan yang tidak boleh diterima, terutama
sekali di Amerika dan Kanada, yang tidak mempunyai ramai ulama'
yang boleh menjawab orang-orang yang jahil ini adalah penting
untuk mengetahui mengenai kedudukan keadaan yang sebenarnya.
Sebenarnya kedudukan perkara ini melibatka persoalan khilaf
(perbezaan pendapat para ulama') sahaja dan tiada siapa yang
merubah pendapat para ulama' yang muktabar kecuali orang-orang
yang jahil dan para pembuat bida'ah. Insyaallah, saya akan
memberi fakta dan nas serta dalil yang berkaitan dengan
Maulidurrasul yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah serta
ijma' para ulama, agar dengan niat ini, semoga ianya menjadi
jawaban kepada kritikan-kritikan dan persoalan-persoalan para
"ulama" yang jahil yang berpura-pura mahir dalam agama
dan semoga ilmu ini dapat dikongsi bersama - ilmu yang Allah beri
kepada ulama' yang benar dan semoga Allah merahmati para ulama'
yang benar ini. Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi ingin
saya kemukakan 3 kenyataan:
1. Kami mengatakan bahawa menyambut Maulidurrasul (s.a.w)
adalah dibolehkan. Perkumpulan yang dilakukan untuk
memperdengarkan Sirah (kisah hidup) dan 'Madh' (puji-pujian) buat
Rasulullah (s.a.w) adalah juga dibenarkan, begitu juga dengan
kebiasaan menjamu tetamu dan menggembirakan saudara seUmmah
adalah dibenarkan dan digalakkan.
2. Meraikan Maulidurasul (s.a.w) bukan sahaja terhad pada 12
hb. Rabi'ul al-Awwal tetapi ianya patut dilakukan pada setiap
hari dalam setiap bulan di setiap masjid agar orang ramai dapat
merasakan cahaya Islam dan Shari'a didalam hati-hati mereka.
3. Majlis sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan peluang
keemasan yang berkesan dan efisyen untuk menyebarkan Islam dan
mendidik anak-anak kita, yang tidak patut diabaikan oleh para
ulama dan da'I, untuk mengajar dan mengingatkan Ummah mengenai
Rasulullah (s.a.w) dan akhlaq baginda yang mulia, cara baginda
beribadah dan cara baginda baergaul dengan orang ramai. Cara ini
boleh memupukkan perasaan cinta dan sayang serta sentiasa
mengingati Rasul (s.a.w) pada hati kanak-kanak. Pemberian makanan
serta minuman dan hadiah juga akan membuatkan mereka merasa
gembira menyambut hari tersebut.
Dalil
daripada Al-Quran dan Sunnah yang Mengatakan bahawa Menyambut
Hari Kelahiran (s.a.w) adalah diterima oleh Shari'a.
Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat
Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah
(s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai
Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada
mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan
hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)
2-1 Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat
Rasulullah (s.a.w).
Allah telah berfirman kepada
Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui
mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada
mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan
hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) Sambutan
Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya
perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat
kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda
dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap
baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran,
"Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia"
(al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan
antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara
seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah
hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu
sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan
manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang
diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w)
berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih
cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar
berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku
sendiri. Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada
kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat
sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat
al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para
Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56).
Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai
orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat
ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu
bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi
(s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi,
ahli keluarga baginda dan para sahabat.
2-2 Rasulullah (s.a.w) menekankan
bahawa hari Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda
Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan
didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah
(s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda
bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari
aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli
Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada
hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan
sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti
malam-malam manusia lain dilahirkan". Peristiwa yang
termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di
istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000
tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis
didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat
265-268. Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1,
ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk
membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan
Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat
yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam
kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya
mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda
bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku". Oleh
kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan'
kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah
(s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi
anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan
…dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung
dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith
ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim
menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah
dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu
yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w)
mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur
kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti
yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini
bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan
perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut -
salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah
(s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai
mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan
shari'ah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya
mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi
dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa,
memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama
berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati
dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia -
semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk
mengutamakan dan menyambut hari tersebut. (Sila lihat
hadith," Meninggal pada hari Isnin" dibawah)
2-3 Firman Allah: Bergembiralah dengan Nabi (s.a.w)
KETIGA: Untuk menyatakan
kegembiraan kita untuk baginda Rasulullah (s.a.w) kerana Allah
telah mengutuskan baginda kepada kita seperti firman Allah
didalam al-Quran, " diatas nikmat dan rahmat daripada Allah,
biarlah mereka bergembira" (Yunus:58).
Perintah ini datang kerana
kegembiraan menjadikan hati rasa bersyukur diatas rahmat Allah.
Rahmat apakah lagi yang lebih besar selain Rasulullah (s.a.w)
sendiri, dan Allah berfirman,' Kami tidak menurunkan kamu
melainkan sebagai rahmat kepada seluruh manusia.'
(Al-Anbiya':107)
Kerana Rasulullah (s.a.w) diutus
sebagai rahmat untuk semua manusia, kegembiraan menyambut
kelahiran baginda tidak tertakluk pada yang Muslim sahaja, bahkan
seluruh manusia, sepatutnya melahirkan rasa kegembiraan tersebut.
Malangnya, pada masa sekarang ramai Muslim yang beriya-iya
menentang perintah Allah untuk bergembira dan menyambut hari
NabiNYA.
2-4 Nabi
(s.a.w) menyambut Hari-hari Bersejarah
KEEMPAT: Nabi (s.a.w), biasanya
menghubungkaitkan ibadah dan sejarah dan kebiasaannya apabila
tiba hari yang bersejarah tersebut, baginda mengingatkan kepada
para sahabat akan hari tersebut dan supaya mereka menyambutnya
walaupun peristiwa itu telah berlaku beribu-ribu tahun yang
lampau. Dalil mengenai perkara ini dapat dilihat didalam hadith
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan perawi-perawi yang lain ini,
"Apabila Rasulullah (s.a.w) tiba di Madinah beliau melihat
kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Ashura. Baginda pun bertanya
kepada mereka mengenai hari tersebut dan mereka pun berkata, pada
hari tersebut, Allah telah mnyelamatkan Nabi mereka, Sayyidina
Musa dan menenggelamkan musuhnya dan kerana peristiwa itu mereka
berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah diatas anugerah
tersebut." Rasulullah setelah itu terus bersabda yang mana
hadith ini merupakan hadith yang cukup terkenal," Kami lebih
berhak keatas Musa daripada kamu," dan baginda berpuasa pada
hari tersebut ('Ashura) dan hari sebelumnya.
2-5 Allah
Berfiman," Berselawatlah Kamu Kepada Nabi"
KELIMA: Memperingati kelahiran
Rasulullah (s.a.w) akan membuatkan hati kita tergerak untuk
berselawat keatas Nabi (s.a.w) dan memuji baginda yang merupakan
satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,
"Sesungguhnya Allah dan para
Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman !
berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya"
(Al-Ahzab:56). Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi
(s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta
berselawat dan memuji-muji baginda. Siapakah yang berhak untuk
menghalang apa yang telah Allah perintahkan di dalam Al-Quran?
Pahala dan manfaat serta cahaya yang Allah berikan kepada hati
kita kerana mematuhi perintahnya, tidak dapat diukur. Suruhan itu
pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam
kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan
MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan
yang ramai. Adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan
bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh/perlu dilakukan
secara bersendirian.
2-6 Kesan
Memperingati Maulid untuk Orang Kafir
KEENAM: Apabila seseorang yang
tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut
Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu
akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih
Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan
dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah
membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya
kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).
Hadith ini terkandung didalam
kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya
didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid
al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal
al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah
menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi :
"Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di
neraka dan kekal didalamnya" "hancur
tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan
daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan
kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya
bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal
dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya
- penterjemah]
2-7 Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq
Yang Baik
KETUJUH: Kita disuruh untuk
mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai
mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda,
tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang
baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara
ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang
lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda,
iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita
terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi.
Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita
untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan
baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita,
kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda
dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq
baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya,
kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat
kita semua.
2-8 Nabi
Menerima Syair/Sajak Yang Berkaitan dengan Diri Baginda
KELAPAN: Pada zaman Nabi (s.a.w),
terdapat ramai penyair yang terkenal dan hebat datang kepada
baginda dan mempersembahkan kepada baginda rangkap-rangkap syair
mereka yang memuji baginda, menceritakan mengenai dakwah dan
peperangan yang baginda pimpin dan juga syair mengenai para
sahabat. Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang disertakan di
dalam Sirah Ibnu Hisham, al-Waqidi dan lain-lain. Rasulullah
(s.a.w) amat menyenangi syair yang indah seperti yang tercatat
didalam hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad dan
kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat
hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi
(s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w)
seperti didalam rangkap berikut:
Dikala dikau dilahirkan , bumi
bersinar terang Hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak
mampu untuk menanggung cahaya mu Dan kami dapat terus melangkah
Lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin [
bahasa mungkin tidak menepati kehendak penulis asal -
penterjemah]
Petikan ini tercatat didalam kitab
Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu
Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath
al-Bari.
Ibnu Kathir menerangkan didalam
kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w)
memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda
semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan
menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku
adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak 'Abd al -
Muttalib!"
Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat
bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya
merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa
yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama
berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga,
melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah
justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha
kepada kita.
2-9 Menyanyi dan Membaca Syair
Telah diketahui, menurut riwayat
'A'isha bahawa Nabi (s.a.w), telah membenarkan beliau untuk
mengundang dua orang perempuan untuk menyanyi pada hari Raya.
Baginda memberitahu Abu Bakr,"Biarkan mereka menyanyi kerana
untuk setiap ummat ada hari cutinya dan ini adalah hari cuti
kita" [Muttafaqun 'alaih]. Didalam kitab Madarij al-salikin,
Ibnu Qayyim menulis bahawa Nabi (s.a.w) memberi izin untuk
menyanyi pada hari perkahwinan dan membenarkan syair
dipersembahkan untuk baginda. Baginda mendengar Anas dan para
Sahabat memuji baginda dan membaca syair ketika baginda sedang
menggali parit semasa peperangan Khandaq dan mereka pernah
berkata," Kamilah yang telah memberi bai'ah kepada Muhammad
untuk berjihad selama kami hidup."
Ibnu Qayyim juga telah
menceritakan mengenai 'Abdullah ibnu Rawaha telah membaca syair
yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad (s.a.w) semasa baginda
menakluki dan memasuki Makkah, dan Nabi pun berdoa untuk beliau.
Rasulullah (s.a.w) juga pernah mendoakan untuk Hassan ibnu Thabit
agar Allah sentiasa memberi bantuan kepada beliau dengan ruh suci
(the holy spirit) selama mana beliau memuji-muji baginda melalui
syairnya. Nabi juga telah menghadiahkan Ka'b ibnu Zuhayr sepasang
jubah apabila beliau membacakan syair memuji-muji baginda kepada
baginda. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang
syair memuji-muji Allah dan baginda pula pernah meminta seseorang
untuk membaca syair puji-pujian yang mengandungi 100 rangkap yang
dikarang oleh Umayya ibnu Abi Halh. Menurut Ibnu Qayyim lagi,
'A'isha selalu membaca syair memuji baginda (s.a.w) dan beliau
amat menyenanginya."
Tertera di batu nisan Hassan ibnu
Thabit beliau menulis mengenai Nabi (s.a.w):
Bagiku tiada siapa dapat mencari
kesalahan didalam diriku Aku hanya seorang yang telah hilang
segala deria rasa Aku tidak akan berhenti daripada memuji nya
Kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal didalam syurga
Bersama-sama 'Yang Terpilih' yang daripadanya aku mengharapkan
syafaat Dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku kearah
itu.
2-10 Menyanyi dan Membaca al-Quran
Seperti yang ditulis oleh Ibnu
Qayyim didalam kitabnya, " Allah memberi keizinan kepada
Nabi (s.a.w) agar membaca al-Quran dengan berlagu . Pada suatu
hari Abu Musa al-Ash'ari sedang membaca al-Quran dengan berlagu
dan suara yang merdu dan ketika itu Nabi (s.a.w) sedang mendengar
bacaan beliau . Setelah beliau selesai mengaji, Nabi (s.a.w)
mengucapkan tahniah kepada beliau kerana bacaan beliau yang
begitu merdu dan baginda bersabda," Engkau mempunyai suara
yang merdu " Dan baginda (s.a.w) bersabda lagi bahawa Abu
Musa al-Ash'ari telah dikurniakan Allah 'Mizmar' (seruling)
diantara mizmar-mizmar Nabi Daud. Dan Abu Musa pun
berkata,"Ya Rasulullah jika aku tahu yang engkau sedang
mendengarkan bacaanku nescaya aku akan membaca dengan suara
yanglebih merdu dan lagu yang lebih enak lagi yang engkau belum
pernah dengar lagi."
Ibnu Qayyim menulis
lagi,"Nabi (s.a.w) bersabda ," Hiasilah al-Quran dengan
suara kamu," dan "Siapa-siapa yang tidak melagukan
al-Quran bukanlah dari kalangan kami." Ibnu Qayyim pula
memberikan komentar, "Untuk menyenangi suara yang merdu
adalah dibenarkan seperti juga kita menyenangi pemandangan yang
indah, gunung-ganang, alam semulajadi ataupun harum-haruman dan
wangi-wangian ataupun hidangan yang lazat selama mana ianya tidak
melanggar batas-batas shari'a. Jika mendengar suara yang merdu
itu haram, maka haram jugalah perkara-perkara yang telah
disebutkan tadi.
2-11 Nabi
Membenarkan Permainan Gendang Yang disertai Niat Yang Baik
Seorang Muhaddith, Ibnu 'Abbad
telah memberikan fatwa berikut didalam kitabnya 'Letters'. Beliau
memulakan dengan sebuah hadith," Seorang wanita telah datang
menemui Nabi dikala baginda baru pulan daripada medan peperangan,
dan wanita itu pun berkata," Ya Rasulullah , aku telah
bernazar jika sekiranya, Allah menghantar engkau kembali dalam
keadaan selamat, aku akan bermain gendan disebelah mu." Nabi
pun bersabda," Tunaikanlah nazar mu." Hadith ini
terdapat didalam riwayat Abu Dawud, Tirmidhi dan Imam Ahmad.
Ibnu 'Abbas pula menulis, "
Tidak dinafikan bahawa memain gendang merupakan salah satu cara
hiburan walaupun Nabi membenarkannya untuk memenuhi nazarnya. Ini
adalah kerana baginda niat wanita itu adalah untuk meraikan
kepulangan baginda dan beliau mempunyai niat yang baik bukannya
dengan niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik ataupun
menyia-nyiakan waktu. Oleh itu, jika kita meraikan hari kelahiran
Nabi dengan niat yang baik, dengan membaca sirah dan memuji
baginda, ianya diterma dan dibenarkan.
2-12 Nabi
(s.a.w) Meraikan Hari lahir Nabi-nabi Yang lain [The Prophet
Emphasized the Birthday of Prophets]
KESEMBILAN: Nabi (s.a.w) telah
bersabda didalam hadith mengenai hari dan dan tempat kelahiran
Nabi-nabi yang terdahulu. Baginda (s.a.w) juga membesarkan hari
Jumaat kerana pada hari itu menurut baginda," Hari itu
merupakan hari Allah mencipta Nabi Adam (a.s)." Ini
bermakna, hari Jumaat dimuliakan kerana ianya merupakan hari
dimana Allah mencipta Adam dan hari itu juga dibesarkan kerana ia
merupakan hari penciptaan Nabi dan Bapa kepada seluruh Ummat
Manusia. Bagaimana pula dengan hari kelahiran Nabi Besar dan
Insan Kamil (sempurna) yang diciptakan?Nabi
bersabda,"Sesungguhnya Allah menjadi aku sebagai Penutup
(Khatam) Semua Nabi-nabi dan Rasul tatkala Adam masih lagi
merupakan sesuatu antara tanah dan air." Hadith ini adalah
riwayat Ahmad dalam Musnad, Bayhaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah dan
kitab-kitab besar yang lain dan ianya merupakan hadith yang hasan
lagi sahih.
2-13 Mengapa Bukhari Mengutamakan Meninggal Pada Hari Isnin
Imam Qastallani menulis didalam
komentarnya mengenai hadith riwayat Bukhari: "Didalam kitab,
Jana'iz (Pengkebumian), Bukhari mengkhususkan satu topik yang
membicarakan tentang 'Keutamaan meninggal pada hari Isnin';
didalam topik tersebut tercatat, hadith daripada A'isha yang
menceritakan mengenai pertanyaan ayahandanya, Abu Bakr
as-siddiq," Pada hari apa Nabi (s.a.w) wafat?" Beliau
menjawab," Hari Isnin" Beliau bertanya lagi, "Hari
apakah hari ini?" A'ishah pula menjawab,"Wahai
ayahanda, hari ini hari Isnin." Lalu beliau pun mengangkat
tangan dan berdoa ,"Aku memohon Ya Allah, agar mematikan aku
pada hari Isnin sama seperti hari wafatnya Nabi (s.a.w)."
Imam Qastallani menyambung lagi,
"Mengapakah Abu Bakr menginginkan agar kematiannya jatuh
pada hari Isnin? Supaya hari meninggalnya sama seperti hari
kewafatan Rasulullah (s.a.w) agar mendapat barakah pada hari
tersebut. Adakah siapa-siapa yang ingin menolak ataupun
menghalang keinginan Abu Bakr untuk meninggal pada hari tersebut
semata-mata mengharapkan barakah hari tersebut? Kenapa sekarang
ramai orang yang menolak keutamaan menyambut atau mengutamakan
hari kelahiran Nabi (s.a.w) untuk mendapatkan barakah?"
2-14 Nabi Sentiasa Menekankan
dan Mengingati Tempat Kelahiran Para Nabi
Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh
seorang 'hafiz', al-Haythami didalam kitab Majma' al-zawa'id
menceritakan bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Nabi (s.a.w)
telah diperintahkan oleh Jibril untuk solat 2 rakaat di Baitul
Laham (Bethlehem) dan Jibril pun bertanya kepada baginda
(s.a.w),"Tahukah kamu dimana kamu telah bersolat sebentar
tadi?" Apabila Nabi bertanya kepada
Jibril,"dimana?"Jibril pun menjawab,"Kamu telah
bersolat ditempat 'Isa dilahirkan."
2-15 Ijma' Para 'Ulama Membenarkan
Sambutan Maulidurrasul (s.a.w)
KESEPULUH: Mengingati hari kelahiran Nabi,
merupakan satu 'ibadah yang diterima oleh semua 'ulama diseluruh
dunia Islam, samada dulu mahupun sekarang. Ini menunjukkan bahawa
Allah redha terhadap perbuatan tersebut. Di dalam kitab Musnad,
Imam Ahmad menulis kata-kata Ibnu Mas'ud (yang diterima melalui
perantara-perantara yang dipercayai), "Apa-apa yang dianggap
benar/haq oleh sebilangan besar umat Islam itulah yang diredhai
Allah dan apa-apa yang dianggap batil/salah oleh sebilangan besar
umat Islam ianya juga salah/batil disisi Allah."
Sejarah Sambutan Maulidurrasul
(s.a.w)
Makkah, merupakan Ibu kepada semua Kota (semoga
Allah merahmati dan memuliakannya), merupakan penghulu bagi
lain-lain kota diseluruh negara Islam didalam meraikan
Maulidurrasul. Al-Azraqi, seorang ahli sejarah Makkah pada abad
ke 3 - hijrah, telah menulis didalam kitabnya, Akhbar Makkah
(Jilid 2,ms160) tempat-tempat yang digalakkan (mustahabb) untuk
menunaikan solat di Makkah antaranya ialah rumah tempat Nabi
(s.a.w) dilahirkan (Mawlid al-Nabi). Menurut beliau, rumah
tersebut telah dijadikan masjid oleh ibu kepada Khalifah Musa
al-Hadi dan Harun ar-Rashid.
Al-Naqqash, seorang 'ulama didalam bidang
al-Quran mengatakan bahawa tempat kelahiran Nabi merupakan tempat
dimana do'a diterima pada waktu tengahari setiap hari Isnin.
Pendapat beliau ini tercatat didalam kitab al-Fasi, Shifa'
al-gharam (Jilid 1, ms 199) dan juga kitab-kitab lain.
Keterangan Mengenai Sambutan
Maulidurrasul (s.a.w) yang terawal secara Beramai-ramai
Kitab Rihal, karangan Ibnu Jubayr (540-614),
didalam bab Perjalanan (ms.114-115) merupakan sumber yang terawal
yang menceritakan mengenai sambutan Maulidurrasul (s.a.w) secara
beramai-ramai didalam suatu kelompok masyarakat.
"Tempat yang diberkati ini (rumah kelahiran
Nabi [s.a.w] ) dibuka dan setiap lelaki dibenarkan untuk
memasukinya untuk mendapat barakah daripadanya (mutabarrikin
bihi) pada setiap hari Isnin didalam bulan Rabi'al al-Awwal
kerana pada hari dan bulan terssebut, Nabi telah
dilahirkan."
Ahli sejarah abad ke-7 hijrah, Abul 'Abbas
al-'Azafi dan anaknya Abul Qasim al-'Azafi telah menulis didalam
kitab (tidak pernah diterbitkan), ad-Durr al-Munazzam,
"Mereka yang menunaikan 'ibadah haji dan mereka yang sedang
melakukan pengembaraan menyaksikan bahawa tiada jual-beli ataupun
sebarang perbuatan lain dilakukan pada hari Maulidurrasul di
Makkah, melainkan mereka berpusu-pusu memenuhi tempat kelahiran
Nabi yang diberkahi. Pada hari itu juga, Ka'bah dibuka dan orang
ramai dibenarkan untuk menziarahinya."
Penulisan Ibnu Battuta Mengenai
Maulidurrasul (s.a.w)
Ibnu Battuta merupakan ahli sejarah abad ke - 8
yang masyhur dan beliau telah menulis didalam kitabnya, Rihla
(Jilid 1,ms.309 dan 347) bahawa pada setiap hari Jumaat, selepas
solat dan pada hari kelahiran Nabi, pintu Ka'bah akan dibuka oleh
ketua Banu Shayba, pemegang kunci pintu Ka'bah. Pada hari
Maulidurrasul (s.a.w) juga, Qadi yang bermazhab Shafi'i (Ketua
Hakim, Makkah), Najmuddin Muhammad Ibnu al-Imam Muhyiddin
al-Tabari, membahagi-bahagikan makanan kepada shurafa' (keturunan
Nabi [s.a.w]) dan juga kepada kesemua penduduk Makkah.
Tiga Rakaman Sambutan
Maulidurrasul (s.a.w) Pada abad ke - 10 Hijrah
Berikut merupakan catatan yang menguatkan lagi
cerita-cerita mereka yang melihat sambutan Maulidurrasul (s.a.w).
Catatan ini bersumber daripada 3 ahli sejarah abad ke -10 hijrah
yang dianggap mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tiada
tandingannya pada zaman tersebut, Ibnu Huhayra didalam kitabnya
al-Jami' al-Latif fi Fasl Makkah wa ahliha (ms.326), al - Hafiz
Ibnu Hajar al-Haytami didalam kitabnya al-Mawlid ash-Sharif
al-Mu'azzam dan al-Nahrawali didalam kitabnya al-I'lam bi-a'lam
Bayt Allah al-Haram (ms.205).
Pada 12hb Rabi'al al-Awwal setiap tahun selepas
solat al-Maghrib keempat-empat (wakil keempat-empat mazhab) Qadi
kota Makkah dan sekumpulan besar orang yang terdiri daripada para
fuqaha' (ulama) dan fudala' (mereka yang utama) kota Makkah,
Shaykh-shaykh, pemimpin-pemimpin zawiyah dan murid-murid mereka ,
para ru'asa' (hakim-hakim) dan para muta'ammamin (ulama)
meninggalkan masjid dan pergi secara beramai-ramai untuk
menziarahi tempat kelahiran Nabi sambil berdzikir dan membaca
tahlil (LA ILAHA ILLALLAH). Rumah-rumah terletak sepanjang jalan
tersebut diterangi dengan lampu-lampu dan lilin-lilin besar dan
ramai daripada penghuni-penghuni rumah-rumah tersebut memenuhi
jalan tersebut. Mereka semua memakai pakaian baru dan membawa
anak-anak mereka bersama-sama. Setibanya ditempat kelahiran Nabi
(s.a.w) doa khas pun dibacakan dan karamah-karamah yang berlaku
semasa kelahiran Nabi (s.a.w) pun dibacakan. Seterusnya doa untuk
Sultan, Amir Makkah dibacakan dan Qadi yang bermazhab Shafi'i
dibacakan dan kesemua mereka berdoa dengan penuh merendah diri.
Sebelum solat al-'Isha, rombongan tadi pun kembali ke Masjidil
Haram yang dipenuhi oleh manusia dan mereka mengambil tempat dan
membentu saf dikawasan Maqam Ibrahim. Di Masjidil Haram, seorang
penyeru akan bertahmid (AL HAMDULILLAH) dan bertahlil dan sekali
lagi berdoa untuk Sultan, Amir dan Qadi yang bermazhab Shafi'i.
Seterusnya, azan untuk solat 'Isha dilaungkan. Selepas solat
al-'Isha, mereka pun bersurai. Peristiwa yang serupa ini juga
dirakamkan oleh al-Diyarbakri (meninggal 960) didalam kitabnya
Ta'rikh al-Khamis.
Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) di
Negara-negara Islam Pada Zaman Sekarang
Pada zaman sekarang, kebanyakan orang-orang Islam
dinegara-negara Islam meraikan Maulidurrasul (s.a.w). Antara
negara-negara tersebut termasuklah: Mesir, Syria, Lebanon,
Jordan, Palestine, Iraq, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Arab
Saudi (tidak secara rasmi - penduduk menyambutnya sendiri
dirumah-rumah mereka), Sudan, Yemen, Libya, Tunisia, Algeria,
Maghribi, Mauritania, Djibouti, Somalia, Turkey, Pakistan, India,
Sri Lanka, Iran, Afghanistan, Azerbaidjan, Uzbekistan, Turkestan,
Bosnia, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan kebanyakan
negara Islam yang lain. Dikebanyakan negara Arab Maulidurrasul
(s.a.w) merupakan hari cuti umum. Kesemua negara-negara ini Wahai
Ummah, meraikan hari tersebut. Namun begitu kenapa masih lagi ada
segelintir dari kalangan kita yang mengatakan ianya haram?
Siapakah mereka ini untuk dibandingkan dengan para huffaz (ahli
hadith) dan ' Ulama Ummah seperti Abu Shama, 'Asqalani, Suyuti,
Sakhawi, Haytami, Shawkani dan al-Qari yang mana mereka semua
mengatakan bahawa sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan suatu
perbuatan yang terpuji?Mengapakah mereka yang menggelarkan diri
mereka Salafi ini mengharamkan sesuatu perkara yang mana Ibnu
Taimiyyah (antara ulama yang begitu tegas) sendiri,
membenarkannya? Ibnu al-Jawzi dan Ibnu Kathir pula
menggalakkannya dan masing-masing-masing mereka menulis kitab
Maulid yang mengandungi syair dan rangkap-rangkap daripada Sira
8-2 Pendapat Ibnu Taimiyyah
Mengenai Majlis Dzikir [Ibnu Taimiyyah's Opinion on the Meetings
of Dhikr]
Berikut merupakan pendapat Ibnu Taimiyyah mengenai majlis
dzikir. Ianya boleh didapati didalam kitab Majmu 'at fatawa Ibnu
Taimiyyah edisi King Khalid ibn 'Abd al-Aziz. Ibnu Taimiyyah
telah ditanya mengenai pendapat beliau mengenai perbuatan
berkumpul beramai-ramai berdzikir, membaca al-Quran berdoa sambil
menanggalkan serban dan menangis sedangkan niat mereka bukanlah
kerana riak ataupun menunjuk-nunjuk tetapi hanyalah kerana hendak
mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Adakah perbuatan-perbuatan
ini boleh diterima? Beliau menjawab,"Segala puji hanya bagi
Allah, perbuatan-perbuatan itu semuanya adalah baik dan merupakan
suruhan didalam Shari'a (mustahabb) untuk berkumpul dan membaca
al-Quran dan berdzikir serta berdoa."
8-3 Ibnu Kathir Memuji-muji Malam
Maulidurrasul (s.a.w)
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menulis didalam kitabnya,
'Al-Durar al-Kamina fi 'ayn al-Mi'at al-thamina' bahawa Ibnu
Kathir, seorang Muhaddith dan merupakan pengikut Ibnu Taimiyyah,
telah menulis sebuah kitab yang bertajuk Mawlid Rasul Allah di
penghjung hidupnya dan kitab ini telah tersebar dengan meluas dan
keserata tempat. Didalam kitab ini. (disunting dan diterbitkan
pada tahun 1961) Ibnu Kathir membenarkan dan menggalakkan
sambutan Maulid dan didalam ms 19 beliau telah menulis,"
Malam kelahiran Nabi (s.a.w) merupakan malam yang mulia, utama,
dan malam yang diberkahi dan malam yang suci, malam yang
menggembirakan bagi kaum Mukmin , malam yang bercahaya-cahaya,
terang benderang dan bersinar-sinar dan malam yang tidak
ternilai."
8-4 Fatwa 'Asqalani dan Suyuti Mengenai
Sambutan Maulidurrasul ['Asqalani and Suyuti's Fatwas on the
Permissibility of Maulid]
Jalaludin al-Suyuti telah menulis didalam kitab beliau,
"Hawi li al-Fatawa", Sheikhul Islam dan Imam Hadith
pada zamannya, Ahmad ibn Hajar ('Asqalani) telah ditanya mengenai
perbuatan menyambut Maulidurrasul (s.a.w) dan beliau telah
memberi jawapan secara bertulis:
Adapun perbuatan menyambut Maulidurrasul (s.a.w.) merupakan
bida'ah yang tidak pernah diriwayatkan oleh para Salafussoleh
pada 300 tahun pertama selepas hijrah. Walaubagaimanapun, ianya
penuh dengan kebaikan dan perkara-perkara yang terpuji dan
kadangkala ianya dicacatkan oleh perbuatan-perbuatan yang tidak
sepatutnya. Jika sambutan Maulidurrasul itu terpelihara dari
perkara-perkara yang melanggar shari'a maka ianya tergolong
didalam perbuatan bida'ah hasanah tetapi jika sambutan tersebut
terselit perkara-perkara yang melanggar shari'ah maka ianya tidak
tergolong didalam bida'ah hasanah.
Untuk menjadi dalil bagi sambutan Maulidurrasul (s.a.w),
hadith dibawah ini boleh digunakan, ianya merupakan hadith
riwayat Imam Bukhari dan Muslim . Semasa Nabi berada di Madinah,
beliau mendapati bahawa kaum Yahudi berpuasa pada hari kesepuluh
Muharranm ('Ashura) dan baginda (s.a.w) bertanya akan perbuatan
mereka, kata mereka, mereka berpuasa kerana pada hari tersebut,
Nabi Musa telah diselamatkan dan Firaun telah ditenggelamkan.
Kami berpuasa untuk menyatakan kesyukuran kami. Perkara ini
menjadi dalil bagi kita untuk menyatakan kesukuran kita kerana
Dia telah merahmati hari tersebut dan menjauhkan bala, seseorang
sepatutnya bersyukur akan datangnya hari tersebut pada setiap
tahun, bersyur melalui berbagai jenis 'ibadahseperti solat,
memberi sedekah, membaca Quran ……
OLEH YANG DEMIKIAN ITU RAHMAT APAKAH
YANG LEBIH BESAR DARIPADA KELAHIRAN NABI, RASUL YANG MENJADI
RAHMAT PADA HARI INI?SUDAH SEPATUTNYA HARI KELAHIRAN BAGINDA
DISAMBUT DAN DIBESARKAN APABILA TIBA HARI TERSEBUT, JIKA KITA
MENGAMBIL DALIL HADITH YANG TERSEBUT DIATAS. TETAPI ADA JUGA
MEREKA YANG MENYAMBUT KELAHIRAN BAGINDA (S.A.W) TANPA MENGIRA
BATAS WAKTU PADA MANA-MANA BULAN ATAUPUN ADA YANG MENYAMBUTNYA
SEPANJANG TAHUN. ITU TIDAK MENGAPA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan