Asal usul sambutan Maulidur Rasul
Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun
sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran
Rasulullah sewaktu hayat Baginda.
Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut
hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya
mereka pada waktu itu.
Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari
kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga
tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap
hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu.
Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah,
sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.
Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh
dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan
Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam
lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah.
Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang
ramai ke jalan benar.
Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji
nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah
Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya.
Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan
dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada
Rasulullah SAW dan perjuangannya.
Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam
jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran
Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam
sejarah Islam.
Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir tetapi
satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah
SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran
Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.
Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang
dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan
hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih
kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan
perjuangannya.
Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh
dipelbagaikan asalkan menjurus kea rah menyedarkan umat Islam kea rah
mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan
barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping
pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan
banyak lagi.
Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati
perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah
seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua
aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak
pula melarangnya.
Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk
sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada
Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika
menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata
perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.
Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan
penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan
boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.
Sambutan ini perlu dibezakan dengan sambutan Barat terhadap sambutan
hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong kek, menyanyi dan menari
dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan hari lahir bagi orang
yang hidup dengan mati.
Sambutan hari lahir orang yang masih hidup sepatutnya untuk mahabbah
diri, amalan yang telah dilakukan dan menginsafi diri beberapa hari lagi
yang berbaki untuk hidup.
Manakala sambutan hari kelahiran untuk orang yang sudah meninggal
dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan yang baik sebagai
motivasi hidup.
Jadi, amalan kita pada hari ini menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan